Individu positif Covid-19 lengkap vaksinasi perlu jalani perintah pengasingan tujuh hari – Khairy

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 Jan : Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata perintah pengasingan ke atas kes positif COVID-19 bagi semua jenis varian adalah selama tujuh hari bagi mereka yang telah lengkap vaksinasi  dan tidak bergejala.

Sementara bagi kes positif COVID-19 bagi semua jenis varian yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi atau bergejala dikenakan perintah pengasingan selama 10 hari.

Beliau juga berkata perintah kuarantin bagi kontak rapat kepada kes positif COVID-19 termasuk jangkitan varian Omicron adalah selama lima hari ke atas individu yang telah mendapat dos penggalak dan tujuh hari bagi individu yang telah lengkap vaksinasi dan yang belum lengkap atau tiada vaksinasi.

“Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan jangkitan COVID-19 menggunakan RTK-Ag, sama ada kendiri atau ke fasilti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut hari ini. Keputusan ujian kendiri hendaklah di masukkan ke dalam MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kontak rapat juga perlu menjalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari kelima (untuk kuarantin lima hari) dan hari ketujuh (untuk kuarantin tujuh hari) dan diberi pelepasan kuarantin pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan sekiranya keputusan adalah negatif dan tidak bergejala.

Khairy berkata kesemua prosedur baharu pengasingan dan kuarantin itu berkuat kuasa esok dan turut terpakai kepada mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.

Katanya, ketetapan baharu itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan membuat penilaian semula bagi  tempoh pengawasan dan pemerhatian berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat kepada kes positif.

Prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai, katanya lagi.

Beliau berkata KKM juga telah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

“Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.