Lupus Al-Quran rosak akibat banjir secara terhormat

Spread the love

KUALA LUMPUR, 11 Jan : Melangkah masuk ke pusat pelupusan al-Quran Darul Kalam di Raudhatul Sakinah dekat sini sememangnya menjentik perasaan lebih-lebih lagi apabila melihat longgokan naskhah al-Quran dan buku agama rosak dan basah diselaputi lumpur akibat banjir baru-baru ini. 

Helaian demi helaian al-Quran diceraikan dan dikeringkan dengan cara dijemur di atas meja yang telah disusun memanjang atau digantung menggunakan sepit baju di bawah kanopi oleh sukarelawan di pusat pelupusan al-Quran di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu. 

Selepas kering, helaian-helaian Al-Quran tersebut akan dibakar sehingga menjadi abu yang sempurna, sebelum diletakkan di telaga abu al-Quran di belakang Darul Kalam atau dialirkan ke laut.

Begitulah cara terhormat memelihara kesucian al-Quran yang merupakan kalam Allah di pusat pelupusan kitab suci itu. 

“Pelupusan al-Quran yang rosak ini satu perkara sedih sebab ini kalam Allah, nak buang sewenang-wenangnya pun tak boleh, jadi pelupusan inilah cara terbaik dengan setiap satu sesi pembakaran, kira-kira 10 kilogram naskah al-Quran akan dibakar dalam relau dan mengambil masa kira-kira dua jam.

“Untuk melupuskan al-Quran ini kena betul-betul sempurna, seeloknya dalam keadaan kering supaya apabila dibakar nanti ia menjadi debu halus yang sempurna sifatnya bukannya kasar. Moga-moga amalan saya ini diterima oleh Allah SWT,” kata Abdul Mu’az Jabai, 33, yang bertugas di bahagian pembakaran kepada Bernama. 

Abdul Mu’az merupakan antara lebih 40 sukarelawan di Darul Kalam, selepas JAWI menawarkan perkhidmatan pelupusan al-Quran secara percuma mengikut panduan syariat kepada mangsa banjir baru-baru ini khususnya di Hulu Langat, Selangor; Mentakab, Pahang dan sekitar Kuala Lumpur.

Bagi Nor Jasliza Akmar Jasmani, 40, beliau pada awalnya tidak dapat menahan sebak apabila melihat banyak al-Quran diselaputi lumpur akibat banjir dan sering muhasabah diri mengenangkan keagungan Allah SWT setiap kali bertugas menceraikan setiap helaian kertas al-Quran yang basah untuk dijemur. 

“Saya tersentuh melihat al-Quran yang masih elok tapi tidak boleh digunakan contohnya macam di halaman kulit dan tepi naskhah sudah basah dan kotor. Kebanyakan saya nampak macam al-Quran dari masjid dan tahfiz sebab itu saya agak sedih dan terfikir bagaimana budak-budak tahfiz nak belajar,” katanya. 

Ahmad Rashidi Yaakob, 40, pula berkata ada kalanya mereka turut menemukan wang yang diselit di dalam al-Quran ketika melakukan proses pengasingan bahan cetakan naskhah al-Quran dan buku-buku lain, namun ia terus dimasukkan ke dalam tabung masjid. 

“Dalam bungkusan kita terima ini ada yang bercampur bukan semua teks al-Quran. Ada juga yang tiada kaitan dengan teks al-Quran. Jadi tugas kami mengasingkan sama ada cetakan al-Quran, buku atau majalah biasa. Kalau teks al-Quran, kita akan bakar mengikut syariat yang telah ditetapkan,” katanya.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAWI Anisah Musa berkata antara cabaran utama dihadapi adalah apabila kebanyakan al-Quran yang diterima dalam keadaan basah dan melekat antara satu sama lain dan perlu diceraikan satu persatu terlebih dahulu untuk dikeringkan dan ia mengambil masa lama.

“Sebelum ini biasanya abu al-Quran kita letakkan di telaga yang terletak di Darul Kalam ini, tapi disebabkan jumlah al-Quran yang terkena banjir ini banyak, kapasiti telaga kita terhad dan kita ambil keputusan abu kita akan buang ke laut,” katanya. 

Beliau turut meminta orang ramai yang mengambil keputusan melupuskan sendiri al-Quran mereka supaya mengikut cara ditetapkan dalam Islam dengan menjaga adab dan kemuliaan al-Quran atau dihantar ke pusat-pusat pelupusan al-Quran.

Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan kepada Bernama berkata sehingga kini, sejumlah 25.28 tan metrik al-Quran rosak akibat banjir telah diterima daripada individu, sekolah, dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp).

“Insya-Allah, JAWI akan membuat inisiatif kempen sumbangan atau wakaf al-Quran dengan kerjasama masjid dan surau di wilayah-wilayah Persekutuan untuk disumbangkan kepada masjid, surau, sekolah yang ditimpa bencana banjir,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.