Tiga individu ditahan terlibat sindiket pinjaman wang tanpa lesen

Spread the love

IPOH, 10 Jan :Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen secara dalam talian dan melakukan ugutan jenayah kepada mangsa pinjaman menerusi Operasi Vulture di Desa Aman Puri, Kuala Lumpur pada 3 Jan lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata hasil risikan selama tiga minggu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, polis berjaya menahan kesemua suspek berumur 22 tahun di sebuah pangsapuri pada pukul 5 petang.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah menjadikan pangsapuri tersebut sebagai pusat panggilan bagi kes pinjaman wang tanpa lesen secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai nama syarikat.

“Sindiket ini mengenakan faedah pinjaman sebanyak 25 hingga 30 peratus dalam tempoh 10 hari dari tarikh pinjaman dibuat dan dipercayai membuat ugutan jenayah serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada peminjam, ahli keluarga peminjam dan kawan-kawan peminjam yang gagal membuat bayaran yang telah ditetapkan.

“Sindiket ini sudah beroperasi hampir dua tahun dan sering bertukar tempat operasi dan menggunakan pelbagai nama syarikat semasa menawarkan pinjaman secara dalam talian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit pelbagai jenis, dua unit komputer, seunit komputer riba, dua unit modem dan lima keping kad sim telefon.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sekiranya menerima tawaran pinjaman secara dalam talian seperti tawaran pinjaman melalui sosial media seperti Facebook dan Instagram.

“Orang ramai diingatkan jangan mengisi butiran peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, e-mel serta maklumat bank dalam tawaran pinjaman secara dalam talian dan seharusnya orang ramai dinasihatkan supaya melakukan sebarang urusan pinjaman wang di pejabat pinjaman wang berlesen atau institusi kewangan berhampiran,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.