Lelaki dipenjara lima bulan lindungi Long Tiger

Spread the love

SUNGAI PETANI, 9 Jan : Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap seorang lelaki kerana melindungi Abdul Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, Johor pada Disember lepas.

Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Rusli Mat, 47, yang bekerja sendiri selepas dia mengaku bersalah.

Mahkamah memerintahkan lelaki berperwatakan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Dis 2021.

Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim dengan niat hendak mengelakkannya daripada ditangkap dan tertuduh mengetahui lelaki itu yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tangkak pada 15 Dis lepas telah melarikan diri daripada tahanan polis.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat LBS 854A, Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil dekat sini pada 3.15 petang, 28 Dis.

Pertuduhan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau dengan denda.

Berdasarkan fakta kes, Rusli menerima panggilan telefon daripada satu nombor tidak dikenali lebih kurang pukul 10 pagi pada 18 Dis dan individu itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Hamim Ab Hamid serta memberitahu ingin menumpang sementara di rumah tertuduh sebelum melarikan diri ke Indonesia.

 Pada 8.45 malam hari sama Abdul Hamim tiba di rumah Rusli dan menumpang di rumah tertuduh selama 11 hari dengan Rusli mengetahui bahawa Abdul Hamim adalah individu yang dikehendaki pihak polis kerana melarikan diri daripada tahanan polis semasa proses perbicaraan di Mahkamah Tangkak.

Rusli dengan rela hati memberikan kebenaran kepada lelaki beretnik Rohingya berumur 33 tahun itu untuk menyembunyikan diri daripada pihak polis sementara menunggu tekong untuk membawanya ke Indonesia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan manakala Rusli diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ruzanna Abdul Rahim. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.