Jho Low, bapa dan ibunya dipanggil untuk menghadirkan diri dalam kes saman 1MDB

Spread the love

KUALA LUMPUR, 6 Jan : Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau “Jho Low”, bapa beliau Tan Sri Larry Low Hock Peng  dan ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe telah dipanggil untuk menghadirkan diri dalam kes saman US$3.7837 bilion (RM15.86 bilion) yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  terhadap mereka.

Memorandum Kehadiran itu difailkan oleh firma guaman, Tetuan Valen, Oh & Partners yang mewakili ketiga-tiga defendan pada 29 Dis 2021. 

Peguam K Siva Kumar yang mewakili 1MDB berkata mahkamah mengarahkan Jho Low dan kedua ibu bapanya memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 26 Jan ini selain menetapkan 9 Feb untuk pengurusan kes.

“Bagaimanapun, tiga defendan lain iaitu kakak Jho Low, May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong masih belum memasukkan kehadiran dalam kes saman itu,” kata peguam itu ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris secara dalam talian hari ini.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut US$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing US$41 juta, US$397 juta, US$608 juta dan US$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta US$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut US$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta US$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut US$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta US$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain US$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen. – TVS

Tags: 1mdb, Jho Low

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.