Wanita cemas enjin kereta terbakar ketika berhenti di lampu isyarat

Spread the love

SIBU, 5 Jan : Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bahagian enjin keretanya terbakar secara tiba-tiba ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Brother Albinus , dekat sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral, Suna Kaha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.40 malam dan mengerahkan 10 anggota ke lokasi.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh dua minit namun bahagian enjin kereta jenis Proton Saga berkenaan musnah sepenuhnya.

Kebakaran yang berlaku memusnahkan bahagian enjin kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang wanita malam tadi.

“Ketika kejadian, wanita berkenaan sedang dalam perjalanan ke Jalan Wong King Huo dari arah pusat bandar dan menyedari kepulan asap pada bahagian enjin ketika berhenti.

“Wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana dia sempat keluar daripada keretanya,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Suna berkata, punca kejadian dan nilai kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.