Kabinet bincang penangguhan umrah esok – PM

Spread the love

SEGAMAT, 4 Jan : Kabinet Kerajaan Persekutuan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan isu penangguhan umrah seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini, susulan ancaman daripada varian baharu COVID-19, Omicron.

Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membentangkan laporan terperinci mengenainya pada mesyuarat tersebut.

“Esok saya akan dapatkan gambaran sebenar mengenai isu umrah ini. Cuma saya hendak maklumkan keputusan KKM (tangguh umrah) lebih kepada hendak menjaga nyawa kita,”  katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap, di sini pada hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung penangguhan umrah yang bakal dikuatkuasakan pada 8 Januari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata perkara lain yang juga akan dibincangkan esok adalah mengenai pasca banjir dan persediaan agensi-agensi bagi menghadapi gelombang kedua banjir. – TVS

Tags: #bm, umrah

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.