Hidhir tekad bantu Kuching City FC ke Liga Super 2023

Spread the love

KUCHING, 3 Jan : Pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Hidhir Idris yang diumumkan sebagai pemain baharu skuad Kuching City FC bertekad untuk membantu pasukan itu mencapai keputusan terbaik dalam saingan Liga Premier musim ini.

Hidhir, 25, yang menyertai skuad The Cats secara pinjaman selama setahun itu berazam untuk membawa pasukan kendalian Ifran Bakti Abu Salim itu untuk layak ke Liga Super musim depan.

“ Saya berasa teruja dan berterima kasih kepada pengurusan Kuching City FC kerana memberi peluang untuk saya menjadi sebahagian daripada senarai pemain mereka pada musim ini.

“ Saya juga melihat kesempatan untuk mendapat tunjuk ajar daripada Irfan Bakti yang merupakan salah seorang jurulatih berpengalaman di negara kita , sesuatu yang sukar dilepaskan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Selain Hidhir, Kuching City FC turut mengumumkan dua lagi pemain tempatan baharu yang akan menguatkan pasukan musim ini iaitu Shafizi Iqmal yang beraksi di posisi serangan dari Selangor II dan pemain sayap, Wan Muhammad Faiz dari Pulau Pinang FC.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya untuk ‘terbang’ ke Bumi Kenyalang, Hidhir yang pernah menjuarai Piala FA 2019 bersama Kedah berkata, selepas dua musim ‘dipinjamkan’ ke PDRM FC, sudah sampai masanya untuk mencari pengalaman baharu bersama pasukan lain.

“ Ini peluang untuk saya belajar dan memantapkan perjalanan saya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

“Saya percaya , Kuching City FC yang turut dibarisi pemain berpengalaman seperti Joseph Kalang Tie dengan pemain muda berbakat yang lain, kami mampu melangkah lebih jauh dalam saingan musim ini,” katanya.

Pada tahun lepas, Kuching City FC menamatkan saingan Liga Premier di tempat kelima selain layak beraksi pada Piala Malaysia. -TVS 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.