Bonnie Bunyau antara atlet paralimpik terbaik dunia 2021

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 Dis : Pencapaian luar biasa buat atlet para negara Bonnie Bunyau Gustin pada 2021 ini.

Beliau bukan sahaja menghadiahkan pingat emas pertama dalam acara powerlifting di Sukan Paralimpik Tokyo pada Ogos lepas, malah ‘Badang’ kelahiran Sarawak sekali lagi mencuri tumpuan apabila disenaraikan antara atlet para lelaki terbaik 2021 oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), baru-baru ini.

Rentetan kecemerlangan atlet bersaiz kerdil itu bermula dengan kejayaannya memecah rekod dunia apabila melakukan angkatan 230 kilogram (kg) pada Piala Dunia Powerlifting Para ke-11 di Dubai dalam kategori 72kg sekali gus memadam rekod 229kg milik atlet Iran Roohallah Rostami ketika Sukan Para Asia 2018 di Indonesia, untuk meraih pingat emas.

Walaupun tidak berjaya mencipta rekod baharu pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo dua bulan selepas itu, namun Bonnie tetap mempamerkan penguasaannya apabila mencipta rekod baharu temasya selepas melakukan angkatan 228kg, mengatasi rekod sebelumnya 227kg dilakukan atlet dari Iraq Rasool Mohsin di Rio 2016.

Atlet para berusia 22 tahun itu meneruskan dominasinya pada kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia awal bulan ini apabila dinobatkan selaku juara dunia dengan angkatan 210kg pada kejohanan dwitahunan itu.

“Bonnie meninggalkan alam persekolahan untuk memberi fokus kepada sukan powerlifting pada usia 15 tahun dan peningkatannya sangat mengagumkan,” menurut IPC menerusi artikel bertajuk ‘The men who stole the show in 2021’ (Atlet lelaki yang mencuri tumpuan pada 2021).

Dalam pada itu, kejayaan Bonnie turut menarik perhatian Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang menyampaikan ucapan tahniah menerusi laman Facebook persatuan.

“Tahniah. Bonnie muncul seorang daripada atlet lelaki terbaik pada 2021 yang disenaraikan oleh IPC,” menurut kenyataan MPM.

Selain Bonnie, 10 atlet para daripada pelbagai sukan turut tersenarai iaitu Marcel Hug (olahraga – Switzerland); Sumit Antil (olahraga – India); Dinesh Priyantha Herath Mudiyanselage (olahraga – Sri Lanka)); Zheng Tao (renang – China); Maksym Krypak (renang – Ukrain); Pramod Bhagat (badminton – India); Brad Snyder (triathlon – Amerika Syarikat); Manish Narwal (menembak-India); Custie McGrath (kanu – Australia) dan Dylan Alcott (tenis kerusi roda – Australia). — BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.