Naib Presiden Warisan , Peter Anthony umum keluar parti bersama ADUN Limbahau

Spread the love

KOTA KINABALU, 28 Dis : Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) , Datuk Peter Anthony mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, keputusan berkenaan diambil kerana beliau telah hilang kepercayaan kepada bekas partinya itu.

Turut mengambil keputusan serupa ialah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

“ Saya dan Juil keluar atas dasar kebaikan rakyat dan negeri Sabah.

Kami akan menubuhkan parti baharu dalam masa terdekat, berkemungkinan selepas sambutan tahun baharu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, parti baharu itu kelak akan ‘mesra’ kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Peter berkata, keputusan untuk menubuhkan parti baharu adalah bagi membela rakyat Sabah yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta berdepan kesukaran dalam kehidupan harian mereka.

” Perjuangan ini bukan bersifat politik dan individu, ini adalah tugas kami sebagai wakil rakyat,” katanya.

Perkembangan terbaharu ini menyaksikan Warisan kini ‘kehilangan’ lima ADUN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Sebelum ini, ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir mengumumkan beliau keluar parti berkenaan pada awal tahun ini manakala pada Oktober lepas, Datuk Dr Yusof Yacob yang juga ADUN Sindumin turut berbuat demikian.

Bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan , Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga ADUN Segama pula mengumumkan beliau keluar Warisan pada 30 Oktober lepas. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.