Pengeluaran KWSP : Najib minta kerajaan tidak dengar nasihat ‘Menteri Kewangan PN’

Spread the love

KUALA LUMPUR , 27 Dis : Isu pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus berlarutan apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan supaya tidak mendengar nasihat Menteri Kewangan ‘zaman’ Perikatan Nasional (PN).

Dalam soal ini, Najib meminta supaya kerajaan mendengar rintihan rakyat yang terkesan akibat banjir.

” Usahlah dengar nasihat Menteri Kewangan ketinggalan zaman PN, dengarlah rintihan rakyat, last sekali pengeluaran khas,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan pengeluaran KWSP menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini.

Perdana Menteri berkata, ini berikutan kerajaan sudah memperuntukkan dana dan bantuan mencukupi di seluruh negara selain bersedia untuk menambah peruntukan berkenaan.

Mengulas mengenai faktor kerajaan keberatan meluluskan pengeluaran khas ketiga iaitu kerana ramai pencarum kini memiliki jumlah simpanan yang kecil untuk persediaan hari tua mereka, Najib berkata, terdapat pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah itu.

“Lepas itu, fokus untuk bina balik simpanan pendeposit baki rendah dalam KWSP. Banyak caranya,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.