Mangsa banjir puji inisiatif polis ambil laporan di PPS

Spread the love

SEPANG, 23 DISEMBER: Kehadiran anggota polis di PPS Dengkil untuk mengambil laporan berkenaan kemusnahan dan kerosakkan harta benda akibat banjir disambut dengan kepujian oleh mangsa-mangsa banjir di daerah tersebut.

Menurut Jaafar Selamat, 64, kehadiran anggota polis telah memudahkan urusan mangsa banjir yang masih terkilan atau tidak mempunyai masa untuk pergi ke Balai Polis untuk membuat laporan.

“Saya berterima kasih kerana Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli pada hari Ahad yang lepas. Saya berharap agar kesusahan yang kami hadapi diambil tindakan oleh pihak kerajaan dan bantuan diagihkan dengan segera kerana saya tidak mempunyai apa-apa lagi” katanya lagi.

Jaafar berkata dia telah tinggal di Kampung Sri Tanjung, Dengkil selama 30 tahun.

Di samping itu, Rosmawati Juhari, 53, berkata dia sangat terjejas kerana banjir telah meninggalkan dia sehelai sepinggang justeru dia masih merasa terkejut.

Rosmawati mengejutkan empat orang anaknya pada pukul 2 pagi pada hari Sabtu lepas apabila dia menyedari air mula pasang dengan pantas.

Katanya lagi, mereka meninggalkan rumah, mengharungi air separas pinggang dengan bantuan lampu dari telefon bimbitnya.

Rosmawati berkata inisiatif polis untuk mengambil laporan di pusat pemindahan sementara memudahkan mangsa banjir yang masih kekeliruan akibat banjir.

“Sekurang-kurangnya usaha pihak polis menenangkan fikiran orang ramai kerana banyak lagi yang tidak mampu untuk pergi ke Balai Polis untuk membuat laporan”, tambah Rosmawati.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Dengkil, Insp Sallehuddin Sulaiman berkata pihaknya akan mengambil laporan secara manual, membuatkan proses ini dapat disingkatkan.

Beliau menjangkakan Balai Polis Dengkil akan menerima sebanyak 10,000 laporan berkenaan kemusnahan dan kerosakkan harta benda, tambahan pula permohonan tiga buah komputer dan mesin cetak
telah dihantar ke Bukit Aman untuk membantu pengurusan.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.