Kemenangan besar hadir bersama misi pacu Sarawak ke arah negeri maju 2030 – Abdullah

Spread the love

KUCHING, 19 Dis : Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol melihat kemenangan besar dicapai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak semalam ‘hadir’ bersama tanggungjawab berat.

Menurut Abdullah, GPS selepas ini akan menumpukan usaha dan perancangan yang diatur untuk memacu Sarawak ke arah negeri yang lebih baik dan maju menjelang 2030.

Pada masa sama, Abdullah mengakui bahawa kemenangan berkenaan sesuatu yang amat bermakna kepada GPS disebabkan beberapa faktor.

” Ini kali pertama kami (GPS) bertanding menggunakan logo sendiri dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan – rakan yang telah menang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemenangan melebihi dua pertiga majoriti yang dicapai GPS dalam PRN Ke-12 Sarawak semalam.

GPS menang 76 kerusi DUN yang dipertandingkan sekaligus mengatasi pencapaian 72 kerusi pada PRN 2016.

Abdullah sendiri semalam berjaya mempertahankan kerusi DUN Semop apabila meraih 4,338 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Pencabar terdekatnya, Abdul Raafidin Majidi yang bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) cuma berupaya memungut 1,180 undian manakala tiga calon lain iaitu Mohd Adenan Zulkepli (bebas, 811 undi), Fadillah Sabali (Amanah, 270 undi) dan Jenny Wong Khing Ling (Parti Bumi Kenyalang, 118 undi) telah hilang deposit.

Berdasarkan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdullah meraih 3,158 majoriti.

Mengulas lanjut mengenai prestasi luar biasa dicapai GPS, Abdullah berkata, ia turut disumbangkan oleh idea pembangunan yang dibawa oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

” Kemenangan bermakna oleh kami (GPS) yang dipimpin Abang Jo (Abang Johari) untuk membawa kita (Sarawak) ke fasa berikutnya,” katanya.

Namun demikian, Abdullah berkata, tumpuan kini perlu diberikan untuk berkhidmat kepada rakyat.

” Kemenangan ini saya sambut dengan semangat untuk bekerja dengan lebih rajin kerana masih banyak tugas yang perlu diselesaikan,” katanya. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.