Kerajaan beri cuti kecemasan kepada penjawat awam terkesan banjir – PM Ismail Sabri

Spread the love

KUALA LUMPUR, 19 Dis : Kerajaan bersetuju memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terkesan akibat banjir yang kini melanda beberapa negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Esok Isnin bermula hari kerja, jadi mereka perlu bekerja walaupun terpaksa berpindah (ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Kita faham kesusahan mereka, maka kerajaan setuju memberi cuti kecemasan akibat bencana ini.

“Kepada kakitangan awam yang terkesan akibat banjir, bila masuk kerja semula, bolehlah berbincang dengan ketua jabatan masing-masing untuk menentukan (cuti), saya harap bila dah balik rumah, selesaikan cuci rumah dan sebagainya, bolehlah bekerja semula. Untuk setakat ini, kita bagi cuti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan banjir di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyeru majikan-majikan swasta supaya mengambil inisiatif sama sebagaimana dilakukan oleh kerajaan dengan memberikan cuti kecemasan kepada pekerja mereka yang terkesan akibat banjir.

“Kalau mereka setuju beri (cuti), dua perkara kita syaratkan iaitu tidak boleh ditolak daripada cuti tahunan dan tidak boleh dipotong gaji…kalau cutinya lima hari, tak boleh potong gaji, (ia) cuti berbayar,” kata beliau.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.