Hampir separuh pengundi berdaftar di SK Gersik keluar mengundi

Spread the love

PANTAI DAMAI, 18 Dis : Kemaskini jumlah pemilih yang telah keluar membuang undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Gersik dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai mencecah 40 peratus setakat tengah hari tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), statistik itu dicatatkan pada pukul 12 tengah hari tadi.

Keseluruhannya terdapat 2,152 pengundi berdaftar di sini dan tinjauan TVS mendapati petugas memastikan pengundi yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

DUN ini mempunyai keseluruhan 18 pusat mengundi dan menyaksikan pertandingan dua penjuru melibatkan GPS dengan Parti Bersatu Sarawak (PSB).

Terdahulu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi berkenaan, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi yang merupakan pengundi berdaftar dilihat tiba di sana untuk menunaikan tanggungjawabnya kira – kira pukul 9.30 pagi tadi.

Sementara itu lawannya, Mahmud Sebli yang ditampilkan oleh PBS pula difahamkan datang ke pusat mengundi yang sama lebih awal kira-kira pukul 9.15 pagi.

Sementara itu, perkembangan di sebelah petang menyaksikan jumlah pengundi yang muncul agak rendah berikutan kawasan ini sedang menghadapi cuaca hujan ketika ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.