Kenapa kerajaan GPS adalah pilihan terbaik

Spread the love

Oleh Samuel Bay (UKAS)

Kuching, 15 Dis: Jika kita bergerak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan turun ke Bandaraya Kuching, sebuah patung gergasi burung kenyalang boleh dilihat di jejambat BDC/Hui Sing bagi mengalu-alukan kedatangan mana-mana pelawat ke bandar raya ini.

Di Sarawak, burung kenyalang merupakan burung yang dihormati khususnya dalam kalangan penduduk tempatan.

Ia juga merupakan spesies burung yang dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar sejak 1998 dengan hukuman berat terhadap mereka yang memburu atau menyimpan burung ini.

Sarawak juga dikenali sebagai Bumi Kenyalang, justeru menjadikan burung istimewa itu sebagai kebanggaan dan simbol negeri.

Burung kenyalang juga dikenali sebagai spesies berkongsi dan kebiasaannya mereka berkongsi makanan antara satu sama lain.

Syabas dan pujian kepada pemimpin kita dahulu dan sekarang yang bijak memberi penghormatan kepada burung kenyalang dengan memilih burung itu sebagai lambang negeri.

Burung kenyalang adalah burung yang megah dan lambang kekuatan bagi rakyat Sarawak.

Pembentukan GPS untuk Sarawak yang lebih baik

Pada 9 Januari 2019, politik Sarawak memasuki fajar baharu apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditubuhkan secara rasmi, dan logo yang menggambarkan burung kenyalang dipamerkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiptera Bersatu (PBB) di Kuching.

Dalam bentuk huruf ‘S’, Abang Johari berkata konsep utama logo GPS, yang menggambarkan kenyalang, mencerminkan visi dan slogan parti, iaitu ‘Sarawak Didahulukan’ (Sarawak First).

Majlis pelancaran itu merupakan hari bersejarah bagi politik Sarawak kerana gabungan parti itu telah dibentuk berasaskan ‘anak-anak’ Sarawak untuk memimpin dan memberi hala tuju untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat Sarawak di Malaysia.

Memandangkan kenyalang adalah spesies yang sangat dilindungi, maka ia menjadi tanggungjawab semua ahli GPS untuk secara berterusan melindungi rakyat Sarawak.

Abang Johari berkata, warna merah pada logo GPS menggambarkan keluhuran kedua-dua Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri manakala warna putih pula melambangkan keadilan Kedaulatan Undang-Undang dan warna hitam melambangkan rukun gabungan itu untuk menegakkan objektifnya.

“Tiga warna itu menunjukkan bahawa GPS adalah gabungan yang akan mempertahankan hak Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Malaysia dan Sarawak,” katanya lagi.

Selaras dengan semangat demokrasi, beliau berkata GPS akan terus membawa keadilan kepada semua kaum dan agama di Sarawak dan memastikan Sarawak dapat menambah nilai kepada kehidupan dan ekonomi negeri.

“Agama anda adalah agama anda, agama saya adalah agama saya,” katanya yang sentiasa mengulangi pendahulunya Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, atau Tok Nan, dan menekankan kebebasan beragama di Sarawak.

“Kepada ahli-ahli GPS, marilah kita bekerja sama untuk mempertahankan Sarawak,” kata Abang Johari kepada empat parti pengasas GPS, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Tahun ini merupakan tahun keempat Abang Johari menerajui negeri ini selepas beliau mengambilalih tampuk kepimpinan daripada Tok Nan pada 13 Januari 2017.

Sejak itu, Abang Johari tidak berhenti turun padang untuk meneruskan legasi Tok Nan bagi memastikan Sarawak menuju ke arah yang betul dalam usaha mencapai pembangunan dan kemajuan.

Lebih Daripada 100 Inisiatif

Sehingga kini, Abang Johari sudah melaksanakan lebih daripada 100 inisiatif yang sebenarnya merupakan satu rekod jika mengambil kira tempoh sejak beliau dilantik sebagai Ketua Menteri.

Ini jelas mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan beliau dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat, selaras dengan slogan ‘Sarawak Diutamakan’.

Sudah tentu, ada beberapa inisiatif yang masih pada peringkat perancangan, manakala banyak yang sudah dilaksanakan, dan ada yang baharu bermula.

Lagipun, seperti kata pepatah ‘Rom tidak dibina dalam masa sehari’, yang bermaksud bahawa ia mengambil masa untuk melakukan sesuatu kerja dengan betul supaya ia memberi impak yang ketara kepada rakyat.

Pembangunan memerlukan masa untuk dilaksanakan kerana ia menuntut perancangan dan pelaksanaan yang teliti.

Mengutamakan ‘Sarawak’ adalah tumpuan utama usaha Abang Johari, dan beliau telah mengubah negeri ini dengan pelbagai inisiatif serta semangatnya untuk mengangkat Sarawak sehingga menjadi negeri maju menjelang 2030.

Petugas GPS Alyssa Mona menunjukkan buku manifesto GPS yang dilancarkan oleh Presiden GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Ketua Menteri Sarawak, pada 8 Disember lepas. – Foto BERNAMA

Abang Johari merupakan seseorang yang sangat bersemangat untuk melihat rakyat Sarawak menerima ekonomi digital.

Beliau teruja melihat kawasan luar bandar semakin maju walaupun ia adalah tugas yang sukar kerana terdapat tidak kurang daripada 5,000 rumah panjang dan kampung di seluruh Sarawak.

Ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara dari Mei 2018 hingga Februari 2020, mereka telah membatalkan dana untuk beberapa projek infrastruktur berimpak tinggi seperti Jambatan Rambungan di Igan dan Batang Lupar di Sri Aman, tetapi Abang Johari bukanlah seseorang yang mudah mengaku kalah.

Beliau segera mendapatkan kelulusan bagi Bajet Sarawak untuk membiayai ketiga-tiga projek tersebut bagi memastikan ia dapat disiapkan demi kepentingan rakyat.

5 Peratus Cukai Jualan Ke Atas Produk Petroleum

Pengalaman luas Abang Johari sebagai pemimpin, ditambah dengan pegawai yang berkebolehan di sekelilingnya, meletakkan beliau pada posisi yang strategik untuk memperkenalkan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum yang merupakan langkah bijak untuk memperoleh lebih banyak hasil pendapatan daripada sumber-sumber semula jadi Sarawak.

“Ini adalah salah satu cara Kerajaan Sarawak dapat memberi balik kepada rakyat, dengan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan dengan wang yang diperoleh daripada cukai,” katanya dalam banyak majlis yang dirasmikannya.

Sehari selepas sambutan Hari Malaysia pada 17 September 2020, seperti yang dijangkakan, PETRONAS akhirnya membuat pembayaran pertama cukai jualan sebanyak RM2.95 bilion yang pastinya merangsang pembangunan Sarawak.

Dana ini juga digunakan sepenuhnya untuk membiayai beberapa projek jambatan di kawasan pesisir pantai dan projek infrastruktur lain.

Pemimpin Yang Merintis Jalan

Abang Johari juga merupakan pemimpin yang bertanggungjawab menubuhkan banyak agensi untuk membangunkan Sarawak.

Beliau telah memperkenalkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), mempertingkatkan Ekonomi Digital, memperkenalkan bas hidrogen, mewujudkan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA), dan lain-lain lagi demi memajukan Sarawak.

Di bawah kepimpinan Abang Johari, satu lagi sejarah tercipta apabila Bandar Kapit akhirnya dihubungkan dengan seluruh Sarawak apabila projek jalan raya di sana siap pada tahun 2020.

Ini merupakan hadiah yang besar bagi penduduk di Bahagian Kapit, impian yang menjadi kenyataan bagi hampir 90,000 penduduk di Kapit dan Song yang sudah menunggu selama bertahun-tahun untuk melihat jalan penghubung itu menjadi kenyataan.

Kita juga tidak lupa bahawa di Malaysia, hanya negeri Sarawak sahaja yang ada menubuhkan sebuah agensi, dikenali sebagai Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR), bagi menjaga kebajikan dan keperluan agama-agama lain.

Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030

Pada Mei 2020, ketika seluruh dunia berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, Abang Johari selaku Ketua Menteri telah membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) untuk merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) yang dilihat sangat penting bagi masa depan Sarawak.

“Saya yakin, kita boleh merealisasikan aspirasi Sarawak pada tahun 2030 kerana kita mempunyai Perkhidmatan Awam yang cekap serta sektor swasta yang proaktif dan bekerja keras untuk membangunkan Sarawak,” katanya.

Keprihatinan tinggi Abang Johari terhadap rakyat Sarawak sekali lagi disaksikan dalam Belanjawan Sarawak 2022 yang disifatkannya sebagai bajet pengembangan, yang memberi fokus kepada pemulihan daripada wabak COVID-19.

“Bajet ini akan memberi tumpuan terutamanya untuk melindungi dan memulihkan kehidupan rakyat dan perniagaan kecil. Ia adalah belanjawan berteraskan rakyat,” tambahnya.

Sebagai bukti keprihatinan beliau terhadap rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Abang Johari telah melancarkan tujuh siri bantuan kewangan yang dikenali sebagai Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) berjumlah RM5.3 bilion.

Beliau membayangkan bahawa menjelang 2030, “Sarawak akan menjadi masyarakat maju yang dipacu oleh data dan inovasi di mana semua orang akan menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan”.

Beliau berharap agar semua rakyat Sarawak akan bergema dengan slogan beliau iaitu ‘Sarawak Diutamakan’ untuk memastikan burung kenyalang dalam GPS dapat terbang tinggi dengan membawa bersamanya visi, harapan, aspirasi dan masa depan yang sentiasa diidam-idamkan oleh seluruh rakyat Sarawak.

Apa yang penting sekarang adalah sokongan dan kepercayaan padu seluruh rakyat Sarawak, yang cintakan keamanan, kestabilan, pertumbuhan ekonomi yang berterusan, dan kemajuan, terus diberikan kepada Abang Johari dan pasukan GPS supaya mereka dapat terus menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada Sarawak.

TAMAT

Abang Johari menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak bagi GPS pada 28 November lalu. – Foto BERNAMA

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.