Abang Johari ambil kira impian dan harapan rakyat di Gedong

Spread the love

GEDONG, 15 Dis : Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg beriltizam untuk memastikan pembangunan di Gedong akan terus diperhebatkan , sejajar dengan pembangunan yang berkembang di kawasan lain.

Menurut Abang Johari yang juga calon GPS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, usaha itu akan dilaksanakan memandangkan ia merupakan harapan dan aspirasi masyarakat di sini.

“Ia juga sejajar dengan hasrat saya untuk menabur bakti kepada rakyat di luar bandar untuk menikmati pembangunan yang lebih baik.

“Saya melihat bahawa mereka mempunyai harapan dan impian untuk melihat transformasi Gedong sebagai satu kawasan yang boleh dihubungkan dengan tempat-tempat yang menarik termasuk Kuching dan Samarahan. Ini akan memberi limpahan pembangunan kepada Gedong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika temu bual eksklusif bersama TVS di Gedong malam tadi.

Dalam pada itu , Abang Johari berkata, perubahan Gedong sebagai sebuah daerah penuh juga akan menjadi lonjakan baharu untuk masyarakat di kawasan itu dalam memantapkan lagi pembangunan ekonomi yang lebih tersusun dan efisien.

“Gedong boleh berkembang sebagai pekan di pinggiran bandar atau bandar satelit. Sekiranya ini menjadi kenyataan, sudah tentu kita akan ada pusat komersial membabitkan pusat perniagaan yang akan dibangunkan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, satu kawasan baharu yang mempunyai ‘reka bentuk’ seperti pulau telah dikenal pasti dan boleh dibangunkan dengan kemudahan infrastruktur terkini.

Seterusnya, Abang Johari berkata, beliau berharap agar masyarakat di Gedong dapat memainkan peranan dan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan yang stabil, seperti mana yang telah dilakukan oleh GPS.

“Ini bagi merealisasikan impian dan harapan untuk membangunkan Gedong demi masa depan yang cemerlang,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.