Yakin PRN Ke-12 Sarawak lancar, rakyat terbiasa SOP – Ahli SPR

Spread the love

LAWAS, 14 Dis: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak pada Sabtu ini akan berjalan lancar.

Ahlinya, Datuk Awang Sahari E.M. Nadzeer berkata, ini kerana orang ramai sudah terbiasa dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang diperkenalkan kerajaan sejak tahun lepas.

Katanya, disebabkan perkara itu, beliau yakin tidak wujud masalah besar untuk pengundi mematuhi SOP dan menjayakan PRN Ke-12 Sarawak.

Terdahulu, Awang Sahari melawat pusat pengundian awal di Rumah Persatuan Keluarga Polis , Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas di sini hari ini.

Mengulas mengenai proses undi awal di sini, Awang Sahari berkata, beliau difahamkan terdapat 91 orang anggota polis dan pasangan yang layak mengundi.

” Saya menjangkakan sebanyak 80 peratus akan mengundi dan setakat pukul 9.15 pagi tadi, seramai 33 orang telah menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Sementara itu, Korperal Mohammad Gasfar Bacho yang merupakan pengundi pertama membuang undi di sini berkata, tiada masalah yang dihadapi kerana prosesnya teratur.

“Pesanan saya kepada pengundi-pengundi , sila datang mengundi kerana ia adalah tanggungjawab kita kepada negara untuk memilih pemimpin yang akan memimpin di kawasan kita, yang akan menjadi suara kepada penduduk di tempat ini,” ujarnya.

Seramai 10, 548 anggota dan pegawai polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan turun mengundi awal di seluruh negeri.

Proses undi awal berlangsung di 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran disediakan.

Antara pusat berkenaan termasuklah dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan sekolah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.