Kelulusan RUU perlembagaan MA63 kejayaan GPS untuk Sarawak – Abang Johari

Spread the love

GEDONG, 14 Dis : Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila menyertai Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan itu merupakan antara usaha yang telah dibawakan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Pindaan Perlembagaan MA63 yang dibawa oleh Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat hari ini.

“Ini bermakna hak kita terbela dan kejayaan ini merupakan hasil kebijaksanaan kerajaan GPS”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Wanita Zon Gedong di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan itu akan menyaksikan MA63 diletakkan setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957.

Ini kerana katanya, ia akan memperincikan peringkat pembentukan dan hala tuju Malaysia daripada Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan hala tuju Persekutuan Tanah Melayu 1957 apabila Perlembagaan Persekutuan diterima pakai pada 1957.

Wan Junaidi seterusnya berkata dengan mengiktiraf MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan kini boleh merujuk kepada semua janji yang dibuat pada 1963 secara terperinci dan dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang merupakan kajian mendalam Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak. -TVS

Sementara itu, TVS turut menyiarkan program khas berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.

Program khas ini boleh ditonton menerusi pautan berikut:


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.