Abang Johari pilihan tepat untuk DUN Gedong – Naroden

Spread the love

GEDONG, 12 Dis : Bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, Datuk Naroden Majais menegaskan, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merupakan calon tepat untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini.

Tegas Naroden, beliau yakin pemimpin yang bekerja kuat seperti Abang Johari akan dapat merealisasikan impian rakyat Gedong untuk melihat pembangunan berterusan di kawasan mereka.

“Saya berpendapat apabila wakil rakyat yang memegang jawatan ketua Menteri (menjadi wakil rakyat di sini), beliau boleh memastikan kawasan luar bandar dapat dibangunkan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Gedong sebagai daerah baharu di Sarawak hari ini yang dilancarkan oleh Abang Johari.

Sementara itu, Abang Johari mengulangi ucapan terima kasih kepada Naroden yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak yang memberi laluan kepada beliau untuk bertanding di situ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini.

Abang Johari berkata, beliau tidak terus bersetuju ketika Naroden memintanya bertanding di sini kerana perlu meminta kebenaran rakyat di DUN Satok terlebih dahulu yang diwakilinya selama sembilan penggal.

” Saya meminta Naroden teruskan kerja di sini…tetapi saya juga mahu berterima kasih kepada masyarakat di Satok yang memahami keperluan untuk saya berpindah ke sini (Gedong),” katanya.

Menurutnya, antara alasan utama perpindahan berkenaan adalah kerana ingin menabur bakti kepada masyarakat di luar bandar sebelum beliau bersara. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.