Calon GPS Tasik Biru umum lapan manifesto ke arah Greater Bau

Spread the love

BAU, 10 Dis : Penduduk-penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru bakal menikmati penaiktarafan kemudahan asas, infrastruktur dan rangkaian jaringan digital selain pembangunan projek perumahan dan hartanah mampu milik dan selesa jika memberikan mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kata Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep inisiatif-inistiatif tersebut merupakan antara lapan manifesto dalam merealisasikan inisiatif Greater Bau.

Manifesto berkenaan disifatkannya sebagai ringkas namun bertepatan selain komprehensif dan inklusif.

“Bagi menuju ke arah Greater Bau, yang pertama adalah menaiktaraf kemudahan asas, infrastruktur dan rangkaian jaringan digital. Kedua, menyediakan pembangunan projek perumahan dan hartanah mampu milik dan selesa.

“Ketiga, menambahbaik prasarana dan produk pelancongan sedia ada. Keempat, memperkenalkan teknologi dan inovasi pertanian moden dengan penekanan kepada penglibatan masyarakat tempatan serta membuka kawasan dan bidang baru untuk pertanian moden,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Manifesto Dato Henry Harry Jinep

Selain itu katanya visi manifesto adalah bagi mentransformasi kawasan DUN Tasik Biru ke arah Greater Bau yang progresif dan rancak menjelang 2030.

“Seterusnya, memperkasa pembangunan modal insan melalui perkongsian ilmu, pencarian bakat dan kerjasama erat antara kampung. Kita juga akan terus memastikan proses pengeluaran surat hak milik tanah dan pemilikan tanah dipercepatkan.

“Antara lain, mewujudkan lebih banyak peluang untuk masyarakat tempatan mendapat pekerjaan dan melibatkan diri dalam aktiviti sosioekonomi. Dan yang terakhir, menggalakkan penglibatan pihak swasta dan masyarakat tempatan untuk pembangunan GREATER BAU,” ujarnya.

Kerusi Tasik Biru menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini dengan Henry akan berdepan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Paul Shanon , Dr Tiki Lafe, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan wakil DAP, Granda Aing.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.