Pensijilan MSPO, pekebun kecil sawit di Serian diseru daftar segera

Spread the love

SERIAN, 10 Dis: Seramai 1,426 pekebun kecil sawit di daerah Serian masih belum mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). 

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, setakat ini hanya 559 pekebun kecil telah berdaftar sebagai ahli di Tebedu manakala 861 orang telah berdaftar di Serian, iaitu kurang daripada 50 peratus jumlah keseluruhan pekebun kecil sawit di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar pekebun kecil segera untuk mendapatkan pensijilan berkenaan.

“Industri sawit adalah tonggak sektor agrikomoditi yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia Daerah Serian di Kampung Pichin di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cek berjumlah RM73,950 kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) Serian untuk Skim Bantuan Pembelian Jentera.

Seramai 30 wakil pekebun kecil persendirian di kawasan berkenaan pula telah menerima sumbangan berupa kelengkapan perlindungan diri (PPE).

Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo memberitahu, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan insentif sebanyak RM25 juta bagi tujuan pensijilan tersebut. 

“Insentif ini merangkumi pembiayaan latihan, pengauditan serta input perladangan,” katanya.

Sementara itu, Willie turut memberitahu bahawa dasar untuk mengawal harga racun dan baja kini dalam peringkat perbincangan. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.