Usah pandang rendah pengaruh media sosial – Henry

Spread the love

BAU, 9 Dis : Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep tidak memandang rendah ‘kuasa’ media sosial dalam mempengaruhi pengundi khususnya golongan muda.

Jelasnya, walaupun kawasan berkenaan dibenarkan berkempen secara fizikal namun pendekatan aktif di media sosial juga mampu memberi impak yang besar.

“Sehubungan itu, jentera parti di sini telah menggunakan Facebook dan aplikasi WhatsApp untuk menyampaikan mesej kepada pengundi.

“Ia lebih mudah diakses kerana di sini terdapat liputan 4G walaupun masih terhad,” katanya kepada TVS hari ini.

Bagi kempen secara fizikal pula, Henry memberitahu, jenteranya bergerak dalam satu kelompok kecil di setiap kampung.

“Mereka akan mengedarkan risalah bagaimana cara untuk mengundi calon pada hari pengundian ini.

“Setakat ini, sambutan maklum balas sangat memberangsangkan,” katanya lagi.

Ketika disoal apakah perkara-perkara yang diketengahkan menerusi perkongsian di laman media sosial, Henry memberitahu, pasukannya mengingatkan rakyat tentang pencapaian selama lima tahun perkhidmatannya sebagai wakil rakyat serta pembangunan berterusan yang telah dilaksanakan oleh GPS.

“Ini termasuklah liputan internet yang telah ada namun saya akui kita perlu meningkatkan lagi kelajuannya,” katanya.

Semalam GPS telah melancarkan manifestonya sempena PRN Ke-12 Sarawak yang mengandungi 34 akujanji untuk dilaksanakan sekiranya menerima mandat pada 18 Disember ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, antara perkara yang disentuh dalam manifesto berkenaan termasuklah memperluaskan liputan telekomunikasi dan kemudahan digital. -TVS

Tags: #bm, #DHHJ

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.