ESSCOM siasat dakwaan komplot di selatan Filipina mahu serang Sabah

Spread the love

KOTA KINABALU , 9 Dis : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kini sedang menyiasat dakwaan wujudnya rancangan kumpulan dari negara jiran yang mahu menyerang dan menawan Sabah.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, ketika ini maklumat perisikan berkaitan pergerakan pasukan pengganas Sulu yang berpengkalan di selatan Filipina itu sentiasa dipantau.

” Kami masih menjalankan siasatan untuk tujuan pengesahan,” katanya ketika dihubungi media.

Baru – baru ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditanya media berhubung isu berkenaan hanya menjawab beliau tidak mahu mengulas lanjut sebaliknya menyerahkan kepada pasukan keselamatan negara.

Sebelum ini, media antarabangsa South China Morning Post melaporkan satu mesyuarat rahsia melibatkan 19 Datuk Bandar di Filipina telah diadakan bagi membincangkan rancangan untuk merekrut 600 orang individu untuk menyerang Sabah serta mahu menghantar pengintip.

Difahamkan pertemuan itu diatur oleh pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata , ketika ini kawalan sempadan perairan Sabah khususnya bahagian Pantai Timur dilakukan seperti biasa oleh pasukan keselamatan.

” Kita juga akan memperketatkan kawalan bagi memastikan tiada pergerakan luar yang memasuki kawasan perairan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui , isu serangan pengganas Sulu ke atas Sabah masih berlanjutan setelah hampir lapan tahun. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.