Bermain Facebook di Rumah Panjang Tani Kudi, Tunoh

Spread the love

BAGI orang luar yang belum pernah berkunjung ke rumah panjang di kawasan pedalaman atau luar bandar seperti di daerah ini, anda mungkin berfikir bahawa kehidupan mereka ‘terasing’ daripada dunia digital kerana tidak mempunyai akses internet.

Bagaimanapun, ‘sila telan’ semula andaian berkenaan kerana sebenarnya sudah banyak rumah panjang di Sarawak yang kini telah memiliki akses internet.

Ia dilaksanakan menerusi inisiatif Projek Saluran Wifi yang dilancarkan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Lembaga Multimedia Sarawak.

Tinjauan TVS ke beberapa rumah panjang di sekitar kawasan ini mendapati kemudahan berkenaan sudah mula digunakan oleh penduduk namun sudah pasti perlu penambahbaikan terutamanya dari segi kepantasannya.

Meliput program kempen oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai, penulis berkesempatan untuk meninjau lebih dekat perlaksanaan inisiatif berkenaan dan bagaimana penduduk telah memanfaatkannya.

Sebenarnya penulis berasa agak bimbang kerana risau liputan internet yang perlahan mungkin akan melambatkan tugas menghantar bahan berita ke ibu pejabat TVS di Kuching.

Bagaimanapun penulis bersyukur perkara itu tidak berlaku, malah boleh buat laporan secara live untuk penonton TVS di banyak kawasan sekitar Kapit ini.

Keletihan akibat perjalanan darat menggunakan kereta pacuan empat roda selama tiga jam bagaikan hilang apabila tiba di Rumah Panjang Tani Kudi di Tunoh, Bukit Mabong di sini semalam.

Rombongan penulis disambut meriah oleh penduduk yang mengalu – alukan kedatangan kami. Terima kasih.

Nicholas Kudi Jantai sempat berkongsi dengan penulis bahawa di kawasan itu, kebanyakan rumah panjang menerima kemudahan WiFi Connect Me yang disediakan kerajaan negeri.

“ Di sini, hasil usaha mendiang Datuk Amar Tan Sri Dr James Jemut Masing yang mahu melihat penduduk di sini turut menggunakan akses digital seperti di kawasan lain, penghuni rumah panjang mula mendapat manfaatnya” katanya.

Pada tahun lepas, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut memaklumkan kerajaan negeri telah memberi pelbagai peruntukan tambahan untuk membolehkan lebih banyak kawasan di negeri ini menerima akses internet.

Ketika melancarkan Sarawak Rural Broadband Network (MYSRBN) awal tahun ini pula, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bagi menjayakan program penyambungan internet di 150 tapak yang telah dikenal pasti.

Ia antara lain akan memasang peranti kecil bagi memangkin capaian Internet di kawasan luar bandar yang sukar mendapat liputan. 

Nicholas Kudi Jantai memberitahu, sudah tentu kemudahan ini memanfaatkan penduduk terutamanya komuniti peniaga yang turut sama berjinak – jinak mempromosikan produk mereka di platform digital.

” Golongan belia juga menikmati kemudahan ini dan mereka juga sudah terbiasa dengan lambakan media sosial seperti Facebook, Instagram , Tiktok dan sebagainya,” katanya.

Menyedari ‘dunia baharu’ itu sudah diteroka penduduk di sini, Nicholas Kudi yang merupakan calon muka baharu turut mempelbagaikan strategi kempennya.

Sementara itu, Nicholas Kudi turut menggunakan pendekatan media sosial untuk berkempen walaupun kawasan yang beliau tandingi dibenarkan untuk berkempen secara fizikal.

“Ini kerana kempen melalui media sosial menyediakan ruang yang sangat luas dan membantu calon lebih dekat dengan pengundi dan memberi keyakinan kepada mereka.

Ujarnya, beliau kini telah mempunyai laman Facebook rasmi bagi berkongsi maklumat sepanjang tempoh berkempen.

Sementara itu, Menteri Muda Belia dan Sukan negeri, Datuk Snowdan Lawan yang turut menyertai ‘rombongan’ kam berkata, media sosial sangat relevan digunakan sebagai salah satu medium untuk berkempen di suasana norma baharu.

“Kita tahu anak-anak muda merupakan golongan yang paling ramai menggunakan media sosial dan mereka lebih terdorong untuk mengikuti perkembangan semasa di ruangan berkenaan,” katanya.

Tambah Snowdan yang juga Ketua Pemuda , Parti Rakyat Sarawak (PRS) , calon yang mereka tampilkan untuk kerusi ini dan seluruh Sarawak juga boleh berkongsi maklumat dan perkembangan terkini di Facebook yang boleh diikuti golongan belia. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.