Ahli parti PBB buat laporan polis dituduh keluar parti

Spread the love

oleh Akma Salleh

MUKAH, 9 Dis: Lebih empat laporan polis telah dibuat oleh ahli – ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung dakwaan palsu yang tular di media sosial kononnya mereka keluar parti itu.

Kesemua laporan berkenaan dibuat pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi di Balai Polis Mukah bagi meminta siasatan terperinci dilakukan pihak berkuasa dan seterusnya menyiasat dalang di sebalik perbuatan itu.

Sebelum ini ahli – ahli PBB di sini terkejut apabila tular senarai nama mereka serta tanda tangan yang dipalsukan kononnya mereka hilang kepercayaan dan mahu keluar parti.

Seorang pengadu, Besri Sar berkata, dia hanya menyedari dirinya ‘keluar PBB’ selepas dihubungi Ketua Kampung yang bertanya perkara itu.

“Saya diberitahu bahawa ada individu yang mendakwa telah menghubungi saya dan mendapat persetujuan serta tandatangan saya untuk keluar parti PBB.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut dan mohon kerjasama polis untuk menyiasat perkara ini. Saya dan rakan -rakan tidak pernah keluar dan akan setia dengan PBB,” katanya.

Besri berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan.

Turut hadir, lebih 10 orang ahli PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan sokongan kepada rakan – rakan mereka yang menjadi mangsa fitnah di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah,  Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias ketika dihubungi mengesahkan polis telah menerima empat laporan berkaitan perkara tersebut. -TVS

Tags: mukah

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.