Calon Piasau guna senaman pagi , Facebook Live dekati pengundi

Spread the love

MIRI, 8 Dis : Kekangan aktiviti berkempen tidak menhalang kesungguhan penyandang Datuk Sebastian Ting turun padang dengan mendekati pengundi bagi mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak pada 18 Disember ini.

Aktiviti senaman harian dengan berjalan di kawasan sekitar rumah selain berinteraksi secara maya menerusi media sosial Facebook mendekati hati masyarakat serta mengenal isu tempatan dan kebajikan rakyat menjadi amalan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berusia 66 tahun itu berkata , aktiviti senaman setiap pagi di kawasan sekitar rumahnya memberi peluang untuk beliau beramah-mesra dengan penduduk setempat.

“Bagi saya untuk berhubung dengan masyarakat di Miri, saya bersenam selama 40 minit dengan berjalan serta serentak melakukan penstriman langsung di Facebook supaya berpeluang berbual dengam semua orang secara bersemuka dan maya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sidang media Badan Bukan Kerajaan (NGO), Movement for Change Sarawak (MOCS), yang mengiktiraf perkhidmatan beliau sebagai wakil rakyat DUN Piasau sejak lima tahun lalu.

Mengulas mengenai manifestonya, Sebastian berkata beliau akan meneruskan agenda pembangunan di Piasau dengan memperjuangkan peluang pendidikan khususnya untuk kanak-kanak serta menitikberatkan tahap kesihatan keluarga di samping menumpukan pembinaan rumah mampu milik.

Selain itu, beliau turut menumpukan pembinaan rumah mampu milik di kawasan DUN tersebut.

“Kami mahukan pendidikan yang baik untuk anak-anak kami, malangnya kadang-kadang pembiayaan kerajaan Persekutuan tidak mencukupi untuk Sarawak. Setiap tahun dengan peruntukkan saya sebanyak RM5 juta, saya akan memperuntukkan kira-kira RM1 juta untuk pendidikan anak-anak,” katanya yang mempunyai latar belakang perundangan.

Dalam persaingan PRN kali ini, Sebastian berdepan saingan daripada calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Teo Jia Jun, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Hanim Jaraee, Parti Bumi Kenyalang (PBK) Chung Siew Yen dan Peter Hee daripada DAP.

DUN Piasau mempunyai 21,337 pemilih berdaftar.

Pada PRN11, 2016, Sebastian berjaya mengalahkan calon DAP, Alan Ling Sie Kiong dengan majoriti 2,112 undi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.