Keselamatan pengundi harus jadi keutamaan calon ketika kempen – Fatimah

Spread the love

MUKAH, 7 Dis : Biarpun kelonggaran untuk mengadakan ceramah dan program secara fizikal ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 dibenarkan di beberapa kawasan,  namun faktor keselamatan rakyat harus tetap diutamakan.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau berharap semua pihak yang terlibat dengan sebarang aktiviti fizikal perlu mengamalkan sikap berjaga – jaga.

Menurutnya, ia melibatkan nyawa rakyat meskipun penduduk di kawasannya sangat mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“ Kita mahu pengundi dan penduduk kita selamat dari COVID-19 ini,” katanya di sini hari ini.

Pada masa sama, Fatimah turut berterima kasih kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana menyedari keperluan untuk berkempen di negeri ini.

Jelas Fatimah, langkah berkenaan sangat wajar memandangkan kawasan di Bumi Kenyalang ini sangat luas.

” Aktiviti kempen yang dilaksanakan merupakan satu keperluan terutama di kawasan di luar bandar,” katanya.

Katanya, jika hanya bergantung kepada internet untuk berkempen, perkara itu mempunyai pro dan kontra kerana masih terdapat kawasan yang menikmati akses digital yang terhad.

“ Begitu juga keperluan untuk membuka bilik gerakan. Kalau di Melaka, hanya satu sahaja bilik gerakan untuk satu DUN tetapi di Sarawak peraturan ini tidak realistik kerana tempat kita luas.

Ada kampung yang terletak jauh dari bilik gerakan utama. Jadi ianya memakan masa dan memakan belanja yang besar untuk sampai,” tegasnya lagi.

SPR sebelum ini membenarkan sebanyak 64 kawasan DUN dibenarkan untuk mengadakan kempen secara bersemuka antaranya kawasan Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng, Repok, Meradong, Pakan Meluan, Ngemah, Machan dan Dalat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.