Dennis Ngau akui sengit di Telang Usan, sandarkan kepada rekod perkhidmatan

By Firdaus Ismail
Spread the love

KUCHING, 6 Dis : Menyedari cabaran sengit yang dihadapi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dennis Ngau kini menyandarkan harapan kepada rekod perkhidmatan beliau di situ.

Katanya, di DUN berkenaan, pertandingan dalam PRN sentiasa sengit dan bukan sekadar pada 2016 lalu malahan telah berlaku sejak lama dahulu.

Dennis berkata, ini kerana pelbagai isu wujud di situ dan mudah untuk dieksploitasikan oleh pelbagai pihak.

” Apabila kita buka mata, lihat di sekeliling, banyak isu dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Hari ini Dennis disahkan sebagai calon DUN berkenaan dan berdepan tentangan tiga calon lain iaitu Gia Bala dari Parti Bumi Kenyalang, Philip Jau Ding (PKR) dan Jau Jok @ Jenggo yang dipertaruhkan oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pada PRN Ke -11 lalu, Dennis menewaskan Roland Engan dari PKR dengan majoriti 167 undi.

Ditanya tentang apa pencapaian ‘terbesar’ sejak lima tahun di situ, Dennis memilih tiga projek yang disifatkan telah memanfaatkan penduduk di situ.

” Pertama kita berjaya membina sebuah jambatan di Long Lama bernilai RM67 juta yang dinamakan Jambatan Pehin Sri Adenan Satem Long Lama, yang memberi impak kepada penduduk di sini dan telah siap pada 2019,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga telah berjaya membina sistem elektrik solar di 75 buah kampung daripada keseluruhan 88 kampung yang terdapat dalam DUN berkenaan.

” Sebanyak tujuh kampung lagi kini sedang dalam proses pembinaan kemudahan yang sama,” katanya.

Katanya, Kerajaan Sarawak juga telah menyalurkan peruntukan RM750 juta untuk membina sembilan batang jalan dan lapan loji air di lapan buah rumah panjang yang setiap satu menelan kos antara RM10 hingga RM15 juta.

Ditanya mengenai cabaran sengit, Dennis mengakui hakikat berkenaan dan akur ia merupakan adat dalam sistem demokrasi berparlimen.

” Bagaimanapun saya terharu kerana hari ini hampir 1,000 penyokong menanti saya di pekan selepas sesi penamaan calon.

” Kita tidak jemput disebabkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tetapi saya sangat menghargai sokongan moral ditunjukkan mereka,” katanya.

Beliau memberitahu, program pertama yang dilakukan selepas proses penamaan calon selesai hari ini ialah melawat kedai di Pekan Long Lama.

” Ini bukan baharu sahaja saya lakukan tetapi sebenarnya menjadi amalan sejak beberapa tahun lalu,” katanya. -TVS

Join our Telegram channel to get our news Alerts and highlights

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.

Karuna Web Design