Calon GPS Satok tumpu pendidikan belia dan pembangunan modal insan

Spread the love

SATOK, 6 Dis : Calon baharu yang dipertaruhkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Ibrahim Baki di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok mahu fokus kepada pendidikan belia di kawasan berkenaan.

Ibrahim yang berpengalaman dalam sektor korporat sebelum ini berkata, pasukan beliau juga mahu menumpukan kepada pembangunan modal insan yang menurutnya sangat penting bagi memacu kemajuan negeri dan negara.

Ujar belia, dalam usaha untuk memakmurkan lagi kawasan berkenaan, kedua -dua elemen berkenaan sangat penting.

“Pada masa sama, saya juga mahu meneruskan perkhidmatan cemerlang yang ditinggalkan wakil rakyat terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat diteruskan oleh pasukan saya.

” Oleh itu, kami akan meneruskan kerja secara berpasukan dan memperjuangkan apa yang diperlukan di kawasan ini, kita mahu memacu Satok ke arah kemakmuran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak di sini hari ini.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok akan memperlihatkan pertembungan tiga penjuru membabitkan Ibrahim dari GPS dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) , Awang Badele dan Datuk Ir Dr. Nor Irwan Ahmat Nor yang disandarkaan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas mengenai khidmat yang diberikan GPS sebelum ini, Ibrahim yang mempunyai ijazah bidang undang – undang berkata, beliau yakin rakyat boleh menilai khidmat telah diberikan selama ini.

” Mereka (rakyat) boleh nilai yang mana intan dan yang mana permata,” katanya. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.