Pemilihan calon PRN Ke-12 Sarawak bukti parti reseptif trend semasa

Spread the love

KUCHING, 5 Dis : Pemilihan calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 oleh parti-parti utama yang bertanding menunjukkan mereka reseptif pada trend serta perubahan politik semasa.

Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan , Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Datuk Mohd. Fadzil Abdul Rahman berkata, ini boleh dilihat dengan pemilihan calon muka baharu dan keberanian menukar penyandang di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut keperluan semasa.

“Calon yang ditampilkan oleh parti-parti itu semua telah ditapis bagi menjamin kemenangan, sebagai contoh kita lihat Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengemukakan muka baharu yang ada orang muda dan wakil wanita. 

“Ini menunjukkan mereka amat reseptif kepada trend masa kini yang orang mahu melihat perubahan iaitu kombinasi calon lama dan calon muda,” katanya kepada Bernama. 

Sebelum ini, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, gabungan itu akan menampilkan 24 muka baharu untuk menjadi calon mereka dalam PRN Sarawak ke-12.

Mengambil contoh pemilihan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang sebagai calon GPS Pujut, Mohd. Fadzil berkata perkara itu merupakan strategi gabungan parti itu meletakkan calon yang mempunyai rekod prestasi baik di kawasan tersebut.

Katanya strategi itu perlu diambil GPS bagi mengalahkan DAP di kawasan bandar.    

“Jika kita lihat pada keputusan PRN sebelum ini, kita tahu kaum Cina lebih terarah pada DAP dan untuk GPS atau parti lain bersaing dengan DAP mereka perlu calon berwibawa dan popular dengan masyarakat setempat. Itu formula GPS untuk kerusi bandar,” katanya. 

Pendekatan reseptif pada trend semasa juga diambil parti DAP terutama apabila meletakkan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen sebagai calon di DUN Batu Kawah.

“DAP tahu Dato Seri Dr. Sim Kui Hian (penyandang DUN Batu Kawah) bekerja keras dan agresif di sana , jadi DAP juga perlu meletakkan calon yang kuat iaitu seorang doktor juga di sana,” kata Mohd. Fadzil.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azman Awang Pawi berkata, walaupun pemilihan calon yang tepat penting untuk menjamin kemenangan namun kekuatan jentera di lapangan juga bakal menjadi penentu kejayaan parti bertanding.

“Faktor kekuatan jentera parti sangat penting bagi menentukan kemenangan calon kerana dalam budaya politik Sarawak, kemenangan calon banyak bergantung kepada jenama parti politik.

“Sebagai contoh, penggunaan jenama parti politik PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) jauh lebih mudah untuk menang dalam landskap politik Sarawak berbanding penggunaan jenama politik PAS atau Amanah,” katanya. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Ke-12 Sarawak pada 6 Disember , pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.