Perasmian Jambatan Gantung Satok bawa limpahan rezeki kepada peniaga sekitar

By Connie Grace
Spread the love

KUCHING, 24 Nov : Jambatan Gantung Satok yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru- baru ini telah merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.

Antara yang ‘tersenyum lebar’ pastinya golongan peniaga yang mencari rezeki di beberapa premis yang beroperasi berhampiran jambatan berkenaan.

Tinjauan wartawan TVS mendapati, rata-rata peniaga di situ berasa teruja kerana pembukaan jambatan gantung itu telah menyumbang kepada peningkatan pengunjung dan seterusnya memberi pulangan memberangsangkan kepada perniagaan mereka.

Bagi Nur Afikah Ramli yang meniaga di medan selera Kubah Ria, dia mendapati kehadiran pengunjung ke kedainya telah meningkat hampir 80 peratus berbanding sebelum ini.

“ Sekarang lebih ramai pengunjung yang datang untuk makan dan minum di kedai saya sebelum atau selepas mereka melawat serta mengambil gambar berlatar belakang jambatan ini,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Rosman Yatim yang telah berniaga lebih dari 10 tahun di Kubah Ria berkata, dia bersyukur kerana pendapatannya turut meningkat.

“Sebelum ini jualan agak perlahan disebabkan beberapa perkara termasuklah sekatan perjalanan dan sebagainya. Namun kini suasana mula berubah ke arah yang lebih baik untuk perniagaan,” katanya.

Faizul Salim yang menjual sotong tutok pula berkata, dia tidak menyangka bahawa selepas perasmian jambatan itu, suasana meriah kembali ‘menjelma’ di medan selera berkenaan yang telah lama sepi.

” Sebelum ini boleh dikatakan tempat ini agak sunyi. Bagi peniaga di sini, kami merindui suasana meriah seperti dahulu dan Alhamdulillah dengan keadaan sekarang,” katanya.

Menurut Faizul, perubahan kawasan berkenaan mula berlaku sejak seminggu sebelum Jambatan Satok dirasmikan oleh Ketua Menteri.

“ Sejak itu, meja sentiasa penuh dan ruang parkir juga sesak kereta dan keadaan ini berlarutan hingga sekarang apabila orang ramai tidak putus – putus datang.

“Pada masa sama, saya juga mendapati pengunjung tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Jambatan Gantung Satok sepanjang 213 meter itu kini menjadi mercu tanda baharu di bandar raya ini dibangunkan di tapak asal pada 18 September 2017 dan mengambil masa kira-kira empat tahun sebelum dibuka kepada awam pada Ogos lalu. -TVS

Join our Telegram channel to get our news Alerts and highlights

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.