SIFMA platform antarabangsa sokong penggiat seni Sarawak

Spread the love

KUCHING, 21 Nov: Kerajaan Sarawak akan terus menyokong industri seni tempatan dalam mengetengahkan dan melahirkan bakat-bakat baru yang dapat menjulang negeri Sarawak menerusi Festival Muzik Dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2.0.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Kesenian, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai mereka yang menunjukkan kesungguhan dalam memelihara serta mengembangkan budaya dan seni negeri ini.

“Tidak lama lagi, anda semua akan dapat berkongsi dan menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing di Pusat Seni Persembahan Sarawak bertempat di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama.

“Kompleks tersebut yang kini sedang dinaiktaraf bakal menjadi pusat berkumpul penggiat seni dan golongan berbakat untuk berkarya dan mengetengahkan bakat masing-masing.

“Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan warisan dan budaya, pusat ini diharap menjadi tempat perkongsian detik-detik indah dan sebagai tempat menjadikan impian suatu kenyataan,” kata Abdul Karim dalam ucapannya pada Konsert SIFMA yang berlangsung secara maya, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau mengajak semua pihak menyokong SIFMA 2.0 serta menjadikannya sebagai saluran untuk golongan berbakat khasnya dari Sarawak menampilkan bakat selain menjadikannya platform seni global dalam mewujudkan satu rangkaian hubungan antarabangsa.

“Saya harap semua terhibur dengan persembahan SIFMA kerana saya berbangga dengan semua yang terlibat membuat persembahan malam ini.

“Anda telah menunjukkan bahawa anda masih dapat melakukan yang terbaik di platform global ini meski di tengah-tengah kekangan pandemik COVID-19,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, Sarawak juga boleh dijadikan destinasi premium bagi peminat serta penggiat seni muzik, tarian, fesyen, seni visual dan sastera. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.