Beri saya lima tahun buktikan amanat kepada rakyat -Abang Jo

Spread the love

MIRI, 31 Okt : Kerajaan Sarawak akan melaksanakan projek pembangunan Jambatan Baram di Marudi serta pakej projek jalan raya hingga ke Sabah untuk memudahkan perhubungan penduduk.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, beliau meminta rakyat memberikan masa selama lima tahun.

” Perancangan kita (kerajaan negeri) selepas ini ialah mahu melaksanakan pembangunan jalan raya di Baram dan bermakna dari Miri sekarang kita membangunkan jambatan Baram di Marudi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Negereng Jihe Uma Maring di Kampung Long Laput, Baram hari ini,

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, dalam pelan berkenaan juga, kerajaan negeri mahu membina jalan dari Marudi hingga ke Long Terawan berhampiran Mulu sebelum disambung dengan jalan di Limbang dan Lawas.

Tambahnya, rezab negeri Sarawak juga makin bertambah bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur di Sarawak.

Menurut Abang Johari, keputusan melaksanakan pakej -pakej projek berkenaan adalah kerana Sarawak mencatatkan tambahan pendapatan sebanyak RM7 bilion sejak tiga tahun lepas.

“Pendapatan bertambah seingat saya dari “revenue engineering” dan disebabkan itulah saya berani bina jalan raya,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari menjelaskan dakwaan pembangkang bahawa negeri itu akan bankrap dalam tempoh tiga tahun adalah tidak berasas.

“Semalam, dia (pembangkang) cakap Sarawak akan bankrap sebab saya berbelanja besar untuk menolong rakyat dengan peruntukan sebanyak RM10 billion setahun dan mereka dakwa rizab Sarawak akan habis kerana saya berbelanja besar mencecah RM30 bilion bagi tempoh untuk tiga tahun ,” katanya.

Sebaliknya menurut Ketua Menteri, selepas lebih tiga tahun tuduhan pembangkang, rizab negeri ini bertambah. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.