Celcom, ZTE optimumkan 100 tapak rangkaian di Sabah & Sarawak sebagai persediaan 4G

Spread the love

Celcom Axiata Berhad (Celcom) bersama ZTE Corporation (ZTE) terus menerajui usaha penyediaan pengalaman 4G yang lancar di Sabah dan Sarawak dengan mengoptimumkan 100 tapak rangkaian di Sabah dan Sarawak dengan penggunaan teknologi L900 bermula November 2021 sebagai persediaan bagi penamatan rangkaian 3G menjelang hujung tahun ini.

Memetik laporan DagangNews.com, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, bagi merapatkan jurang digital melalui pengalaman internet yang lebih baik di kawasan pedalaman yang sukar dicapai, penggunaan L900 dikenalpasti dapat menyelesaikan penambahbaikan 4G dengan segera, dan menyediakan kesalinghubungan yang lancar untuk pengguna.

“Kami komited untuk menyediakan pengalaman rangkaian yang berkualiti dan konsisten bagi pelanggan, lebih-lebih lagi ketika negara dan industri bersedia ke arah penamatan perkhidmatan 3G pada hujung tahun ini.

“Rakan teknologi yang berpengalaman dan dan berkemahiran seperti ZTE akan memacu usaha kami dengan lebih pantas, bagi memenuhi aspirasi kami dalam menyokong cita-cita kerajaan melalui JENDELA serta menyediakan kesalinghubungan yang konsisten dan inklusif bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Pada April 2021, Celcom dan ZTE telah menggabungkan kepakaran teknologi dan kemahiran dalam melaksanakan inisiatif penaiktarafan 4G LTE bagi 70 tapak di Sabah dan Sarawak, melalui penggunaan lebar jalur L1800.

Menurut beliau, aktiviti penambahbaikan rangkaian ini turut membantu mempertingkat kesalinghubungan bagi sekolah-sekolah di kawasan tersebut seperti Sekolah Kebangsaan Kukuro (22km dari Beaufort), Sekolah Kebangsaan Rancangan Klias (16km dari Beaufort), Sekolah Kebangsaan Nanamun (24km dari pekan Kota Belud), dan Sekolah Kebangsaan Samparita (26km ke Kota Marudu)

“Inisiatif penambahbaikan ini telah menyelesaikan isu peningkatan trafik data dengan segera dan mempertingkat kualiti liputan di kawasan terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan ZTE di Malaysia, Steven Ge berkata, pihaknya akan terus menyokong cita-cita Celcom dalam menghubungkan pelanggan melalui rangkaian berkualiti tinggi, melalui kerjasama pemantauan optimisasi rangkaian, prestasi rangkaian, dan pengalaman pelanggan selepas penamatan era 3G, bagi menyediakan pengalaman optimum kepada pelanggan.

“Kami bangga kerana dapat memainkan peranan dalam modernisasi rangkaian 4G Malaysia melalui Celcom,” katanya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.