MOSTI optimis mampu jadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030

By Bernama
Spread the love

PUTRAJAYA, 17 Okt: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) optimis dalam melaksanakan dan menjayakan dasar dan inisiatif yang digariskan bagi meletakkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata MOSTI menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika pembukaan Invest Malaysia 2021 baru-baru ini, untuk menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030 yang menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi yang diterajui sains, teknologi dan inovasi.

Ini akan akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT) dan teknologi blok rantai.

“Sasaran yang diumumkan Perdana Menteri adalah selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030. Untuk makluman, Malaysia telah menunjukkan perkembangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang pesat daripada RM204 bilion pada 1991 ke RM1.34 trilion pada 2020, hasil pelaksanaan berkesan pelbagai dasar negara.

“Ini termasuklah DSTIN 2021-2030 yang menyasarkan pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi pada 2030,” kata Dr Adham dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengukuhan ekosistem sains, teknologi dan inovasi termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), menjadi antara fokus utama DSTIN bagi mencapai sasaran 2.5 peratus nisbah perbelanjaan kasar R&D (GERD) terhadap KDNK pada 2025 dan 3.5 peratus pada 2030.

Katanya usaha ini disokong oleh penjajaran bidang keutamaan R&D negara dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan eksperimental, selain inisiatif MOSTI melalui agensi di bawahnya termasuk ‘Technology Commercialisation Accelerator’ dan ‘Malaysia Science Endowment’ untuk memacu usaha pembangunan dan pengaplikasian teknologi tempatan dalam kalangan pemain industri, dan seterusnya membantu negara mendepani revolusi perindustrian keempat.

“Untuk makluman, MOSTI sedang membangunkan 17 pelan hala tuju teknologi antaranya kecerdasan buatan, blok rantai, elektrik dan elektronik, bahan termaju, robotik dan vaksin. Pelan hala tuju ini adalah selaras dengan 10 pemacu sains dan teknologi dan 10 pemacu sosioekonomi seperti yang terdapat dalam rangka kerja 10-10 sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (10-10 MySTIE),” katanya.

Dr Adham berkata antara sasaran MOSTI adalah untuk menjadi negara pengeluar vaksin, menjana RM600 bilion potensi pulangan perdagangan bagi sektor elektrik dan elektronik pada 2025, memberi sumbangan signifikan kepada KDNK melalui bidang-bidang yang telah dikenal pasti, mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), serta pewujudan 5,000 syarikat pemula menjelang 2025.

Selain itu, beliau berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), MOSTI menyasarkan 500 bilangan produk atau penyelesaian yang dikomersialkan melalui ‘National Technology and Innovation Sandbox’ dan Tahun Pengkomersialan Malaysia bagi meningkatkan pendapatan negara.

“Dalam tempoh 2016 hingga 2020, sebanyak RM402 juta hasil jualan telah direkodkan daripada 386 produk R&D yang berjaya dikomersialkan. Dasar Pengkomersialan Harta Intelek dan Reka Cipta 2021-2025 yang dibiayai oleh kerajaan, akan mempergiatkan aktiviti pengkomersialan harta intelek dan reka cipta,” katanya.

Dr Adham berkata tumpuan juga kepada pemerkasaan dan pembudayaan bakat sains, teknologi dan inovasi (STI), serta penyelidikan pembangunan eksperimental adalah bagi memastikan ketersediaan bakat dan pakar bagi mencapai sasaran 130 bilangan penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga buruh menjelang 2025.

Beliau berkata MOSTI komited menyokong ekosistem ‘startup’ secara holistik dan mampan menerusi Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) 2021-2030 di mana Cradle Fund Sdn Bhd diberi mandat sebagai agensi tunggal bagi mengurus ekosistem pembangunan ‘startup’ dari fasa permulaan hingga pertumbuhan, untuk meningkatkan daya saing ‘startup’ di peringkat antarabangsa dan memberi sokongan kepada ‘startup’ perniagaan dengan sasaran lima syarikat berstatus ‘unicorn’ menjelang 2025.

“Cradle juga ketika ini sedang membangunkan platform ‘MyStartup’ yang bertujuan untuk menyelaras serta menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh dan inklusif kepada syarikat pemula,” katanya.

-BERNAMA

Join our Telegram channel to get our news Alerts and highlights

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.