Piala Malaysia : Lagi pasukan Liga Super jadi mangsa Sarawak United FC

Spread the love

Kredit gambar MFL

SHAH ALAM, 29 Sept : Sarawak United FC mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam Piala Malaysia 2021 selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini.

Lebih menarik, skuad kenyalang emas meneruskan kejutan apabila menjadikan Sri Pahang FC sebagai ‘mangsa Liga Super’ baharu yang berjaya dikalahkan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebentar tadi.

Jaringan pemain sayap, Tommy Mawat Bada pada minit ke-60 yang menyudahkan hantaran Sandro Da Silva sudah cukup untuk meranapkan impian skuad Tok Gajah untuk bangkit selepas kekalahan 1-3 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada Ahad lepas.

Berlangsung sengit sebaik wisel ditiupkan, kedua -dua pasukan saling berbalas serangan dengan Sarawak United FC yang beraksi sebagai tuan rumah terlebih dahulu menguji kubu pelawat namun sepakan percuma Sandro pada minit kedua tidak memberikan hasil.

Anak buah E. Elavarasan terus membentuk formasi serangan menarik malah hampir di depan pada ke-18 namun Uche Agba gagal menyudahkan peluang terhidang walaupun hanya berdepan penjaga gol Sri Pahang FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Peluang Sri Pahang untuk memimpin perlawanan hadir pada minit ke-31 namun sepakan percuma Muhamad Nor Azam Azih tersasar.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang FC meningkatkan tempo permainan dengan melancarkan beberapa percubaan dan nyaris berada di depan pada minit ke-54 namun percubaan Baqiuddin Shamsudin tersasar.

Sejurus jaringan Tommy, anak buah Dollah Salleh dilihat cuba bangkit menerusi beberapa gerakan menarik yang dirancang oleh Herold Goulon namun gagal membocori gawang Ngap Sayot yang dikawal Shaiful Wazizi.

Sebaliknya Sarawak United berpeluang melebarkan kedudukan pada minit ke – 81 namun Agba sekali lagi mensia-siakan peluang terhidang.

Kemenangan kedua ini menyaksikan Sarawak United FC kekal pendahulu kumpulan dengan memungut enam mata maksimum.

Satu lagi keputusan menyaksikan Pulau Pinang FC gagal bangkit daripada kekalahan pertama apabila sekadar seri 1-1 dengan KL City FC di halaman sendiri. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.