Polis tahan lelaki warga Indonesia, rampas dadah bernilai RM1.74 juta

By Bernama
Spread the love

IPOH, 27 September — Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.74 juta di tepi jalan di Bagan Lipas Laut, Rungkup di Bagan Datuk semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata suspek berumur 56 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.55 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemukan dua beg guni disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 29 kilogram (kg) bernilai RM1.74 juta.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dipercayai menggunakan sampan atau bot kecil bertemu dengan individu di tengah laut untuk mengeksport dadah tersebut  ke Indonesia. Dadah itu boleh dibekalkan untuk penagih dadah kira-kira 300,000 orang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata ujian air kencing mendapati suspek yang aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lepas itu negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata dalam kejadian berasingan, polis menahan pasangan suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM150,000 di sebuah rumah di Changkat Jong di Teluk Intan, Sabtu lepas.

Beliau berkata kedua-dua suspek warga tempatan berumur 37 dan 28 tahun itu ditahan dalam satu serbuan pada 3.35 petang dan hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis heroin seberat 4.18 kg  dan dadah jenis syabu seberat 409.85 gram yang bernilai RM150,000.

“Ujian saringan awal air kencing yang telah dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata suspek lelaki yang tidak bekerja mempunyai empat rekod kesalahan lampau manakala suspek wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan tidak mempunyai rekod lampau dan kedua-duanya direman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

Katanya, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan untuk penagih dadah lebih kurang seramai 7,000 orang untuk pasaran tempatan.

Mior Faridalathrash berkata susulan penahanan pasangan suami isteri itu, polis turut menahan lima lelaki warga tempatan berumur 18 hingga 32 tahun dalam tiga serbuan pada hari yang sama di sekitar Teluk Intan.

“Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 5.61 gram dan ganja seberat 1.57 gram dengan jumlah nilai rampasan RM640,” katanya.

Menurutnya, empat suspek didapati positif dadah jenis methamphetine mempunyai rekod lampau manakala seorang positif dadah THC tidak mempunyai sebarang rekod.

“Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen  39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952,” katanya.

— BERNAMA

Join our Telegram channel to get our news Alerts and highlights

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.