Dua beradik menang cabaran TikTok ‘Malaysia: Ekspresi Kemerdekaan 2021’

Spread the love

LABUAN, 25 Sept : Dua murid Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) yang juga adik-beradik iaitu Jewel Chieng Shao Li dan Nathania Chieng Shao Yin telah memenangi Cabaran TikTok ‘Malaysia: Ekspresi Kemerdekaan’ 2021 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Jewel, 10, dan Nathania, 8, merangkul RM1,500 bagi video TikTok mereka yang berjudul ‘Malaysia Is Where My Heart Is’ di bawah kategori sekolah antarabangsa dan kemenangan mereka diumumkan secara maya pada 16 Sept.

Pertandingan itu, dengan tema ‘Malaysia Di Mataku,’ bertujuan memupuk semangat patriotisme, menghargai kemerdekaan dan kemajuan yang dicapai oleh negara tercinta.

Pengetua LIS Fadlin Aimuni Binting berkata kriteria penghakiman termasuk kreativiti peserta, kandungan dan kemahiran menyunting.

“Berbekalkan panduan daripada guru seni persembahan LIS serta ibu kedua-dua beradik iaitu Jessica Lee, Jewel dan Nathania berjaya menarik perhatian hakim dengan nyanyian serta tarian mereka.

“Kandungan video mereka diselang-seli dengan imej rakyat Malaysia, festival kebangsaan dan makanan tradisi. Tidak diragukan lagi, video itu yang memasukkan pemandangan indah di Labuan, turut mempromosi Labuan ke seluruh Malaysia,” katanya.

Jewel pula berkata Hari Kebangsaan merupakan detik terbaik untuk rakyat Malaysia menunjukkan penghargaan kepada negara dan saling bekerjasama demi kebaikan negara.

“Marilah kita menghargai semua yang kita miliki dan meraikan kemerdekaan kita… Hari Kebangsaan ialah hari kita memberikan penghormatan kepada negara kita yang indah ini,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm, tiktok

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.