Agensi umrah perlu bersedia fahami SOP, peraturan baharu Arab Saudi

By Bernama
Spread the love

KUALA LUMPUR, 20 Sept– Agensi pengurusan umrah perlu bersiap sedia memahami peraturan baharu dan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan ibadah itu, susulan kebenaran Arab Saudi kepada rakyat Malaysia untuk melaksanakan ibadah umrah.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata langkah itu penting bagi memastikan jemaah umrah mendapat maklumat lengkap dan peka dengan perkembangan peraturan di Arab Saudi sekali gus memastikan mereka dapat pergi dan pulang daripada menunaikan umrah dengan selamat.

“Sudah tentu agensi umrah masih belum ada pengalaman lagi dalam mengendalikan umrah dengan SOP baharu, namun mereka perlu sentiasa ambil berat perkembangan semasa termasuk kriteria jemaah seperti umur yang dibenarkan dan kelengkapan dos vaksin untuk melaksanakan ibadah itu.

“Selain itu, mereka juga perlu memastikan jemaah umrah memahami amalan penjarakan fizikal di dalam bas, hotel penginapan, pengurusan insurans dan peningkatan kos susulan SOP baharu di Arab Saudi termasuk pelbagai aplikasi untuk mendapat kebenaran melaksanakan umrah, solat waktu di Masjidil Haram, ziarah Raudhah dan Makam Rasulullah akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Meskipun berpengalaman dalam menguruskan jemaah haji, TH tidak bertanggungjawab dalam menentukan sebarang perkara berkaitan aspek pengurusan ibadah umrah yang tertakluk di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain itu, agensi pengendali umrah juga perlu memastikan syarikat yang akan memberi perkhidmatan di Arab Saudi seperti pengangkutan, sajian dan hotel masih beroperasi, mempunyai kemampuan mengendalikan jemaah dan tidak terkesan akibat pandemik COVID-19. 

Syed Saleh berkata TH mempunyai keyakinan penuh terhadap pengurusan kerajaan Arab Saudi yang telah berpengalaman menguruskan haji dua tahun lepas dan umrah pada tahun ini serta bersedia menerima jumlah jemaah yang lebih besar untuk ke Tanah Suci. 

“Dengan situasi COVID-19 di sana yang semakin terkawal iaitu kes baharu pada kadar 1,000 dengan awal Ogos turun ke 120 kes sehari, kita percaya urusan jemaah lebih selamat terutama ibadah umrah yang lebih fleksibel, dalam jumlah kecil dan tidak memerlukan pergerakan serentak seperti ibadah haji.

“Arab Saudi turut mengumumkan peningkatan jumlah jemaah umrah kini seramai 60,000 orang sehari dan akan ditingkatkan kepada 90,000 hingga 120,000 orang seterusnya menganggarkan mereka akan dapat mengendalikan dua juta jemaah dalam sebulan,” katanya. 

Menyentuh mengenai peningkatan kos umrah dan haji, Syed Saleh berkata perkara itu lebih memberi kesan kepada agensi umrah yang menawarkan pakej dengan harga murah yang mana jumlah jemaah sehingga enam orang sebilik seperti kebiasaan sebelum ini perlu dikurangkan. 

Begitu juga dengan haji, kos dijangka meningkat dengan sebahagian besar berkait rapat dengan penjarakan fizikal seperti had muatan bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram turut dihadkan.

Turut memberi kesan kenaikan kos adalah kelengkapan perubatan yang ditambah dan keperluan ujian saringan COVID-19 iaitu sebelum berangkat ke Tanah Suci, semasa berada di sana dan sebelum pulang ke tanah air.

“Saya lihat ini memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini sahaja jemaah haji perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, melibatkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan tawaf dan sa’i sahaja.

“Kos itu tidak termasuk kos penginapan hotel di Makkah dan Madinah serta makan minum, juga penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, jadi bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini,” katanya.

Sebagai perbandingan, bayaran haji pada 2019 ialah RM9,980 seorang untuk tempoh 40 hingga 45 hari. Adalah dijangkakan kos haji untuk 2022 dan tahun-tahun akan datang akan meningkat berdasarkan kos berkaitan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos-kos lain di Malaysia dan Arab Saudi.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata TH akan meneruskan bantuan kewangan haji bagi musim akan datang untuk jemaah haji muassasah kali pertama.

Bagaimanapun, bayaran haji berjumlah RM9,980 seperti tahun-tahun sebelum ini akan dipertimbangkan bersama kos haji dan kedudukan kewangan TH.

Sejak 2009 hingga 2019, TH telah membiayai pemberian bantuan kewangan haji kepada para jemaah sebanyak RM1.7 bilion, yang merupakan satu jumlah yang besar. 

— BERNAMA

Join our Telegram channel to get our news Alerts and highlights

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.