Pembayaran BKC masyarakat di pedalaman dipermudahkan -PM

Spread the love

KUALA LUMPUR, 5 Sept : Kerajaan akan mempermudahkan urusan pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) fasa satu terutamanya kepada masyarakat pedalaman yang tidak memiliki akaun bank.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses berkenaan bagi memastikan bantuan berkenaan dapat meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

” Pagi ini saya berpeluang meninjau secara maya proses pembayaran BKC fasa satu yang dilaksanakan secara berperingkat menerusi institusi kewangan terpilih melibatkan peruntukan sebanyak RM3.1 billion,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada 1 September lepas, Ismail Sabri mengarahkan Kementerian Kewangan supaya mempercepatkan pembayaran BKC  yang dijangka akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan golongan bujang yang berkelayakan.

Sementara itu, menerusi kenyataan media, Perdana Menteri menjelaskan , berdasarkan data Kementerian Kewangan, terdapat kira-kira 708,223 penerima BKC yang tidak mempunyai akaun bank.

Menurut Perdana Menteri, menerusi sesi tinjauan secara maya hari ini , beliau berkesempatan bertanya khabar dengan penerima di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) termasuk di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor untuk memastikan proses pembayaran bantuan itu berjalan lancar.

” Dalam sesi itu, saya telah mendapatkan laporan secara langsung daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang turun padang meninjau proses pembayaran di BSN Putrajaya manakala timbalannya, Mohd Shahar Abdullah berada di BSN Triang, Pahang,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berharap bantuan berkenaan sedikit dapat meringankan beban “Keluarga Malaysia” yang terkesan akibat pandemik COVID-19. -TVS

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.