Pemandu lori rempuh lima kenderaan positif dadah

Spread the love

KUALA LUMPUR, 6 Sept : Pemandu lori yang merempuh lima kereta yang berhenti di lampu isyarat Jalan Ipoh, di sini petang tadi didapati positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya telah menahan pemandu berkenaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

” Siasatan awal mendapati lori itu dipandu dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul. Apabila sampai di lampu isyarat berkenaan, pemandu gagal mengawal kenderaannya dan merempuh dengan laju lima buah kenderaan lain yang sedang berhenti,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Sarifudin, kenderaan yang dirempuh lori berkenaan ialah kereta Perodua Myvi berwarna kuning dan putih, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot.

” Pemandu Myvi kuning cedera ringan di bahagian muka dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur manakala pemandu kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Terdahulu, tular video kemalangan berkenaan yang menunjukkan lori berkepala kuning itu merempuh kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat serta situasi kelam kabut apabila orang awam cuba menyelamatkan mangsa.

Sarifudin memberitahu, lelaki berkenaan didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamin.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 44 ( 1A ) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – TVS

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.