Palsukan butiran pemilikan syarikat, bekas penjawat awam ditahan

Spread the love

JOHOR BAHRU, 5 Sept — Seorang bekas penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor di sini pagi tadi, kerana dipercayai memalsukan butiran syarikat miliknya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan toner melibatkan nilai RM1.03 juta.

Menurut sumber lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor pada pukul 11.30 pagi tadi, bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan yang ketika itu merupakan pembantu tadbir Gred N19 di pejabat kerajaan negeri, telah menyalahguna kuasa dan kedudukannya sebagai urusetia dalam Jawatankuasa Sebutharga.

“Ia adalah untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan toner mesin pencetak dengan memalsukan butiran pemilikan tiga syarikat miliknya dari 2016 sehingga 2019, melibatkan nilai kerja RM1.03 juta,” menurut sumber itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan penahanan individu terbabit.

— BERNAMA


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.