Kerajaan teliti lebih banyak kelonggaran untuk rakyat

Spread the love

KUALA LUMPUR, 6 Sept : Kerajaan sedang meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada masa yang sama, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

” Kelonggaran-kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Namun demikian menurut Hishammuddin, sebelum menetapkan kelonggaran -kelonggaran yang disebut, pelbagai faktor perlu diambil kira kerana ia melibatkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara.

” Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 2 September telah bersetuju supaya saya selaku Menteri Kanan Pertahanan yang mengetuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan turut melibatkan tiga lagi Menteri iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa,” katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, beliau akan memanggil tiga menteri berkenaan dalam masa terdekat untuk memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama tentang penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik.

“Pada masa sama , saya juga telah mengarahkan MKN supya terus mengemaskini SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat sebelum ini agar ia lebih mudah difahami,” katanya.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.