Kekangan teknologi bukan penghalang, pedofilia paling dikehendaki akhirnya tumpas

Spread the love

KUCHING Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Itulah gambaran seorang pelaku seksual terhadap kanak-kanak atau pedofilia yang paling dikehendaki pihak berkuasa bukan sahaja dalam negara, tetapi juga pihak berkuasa pada peringkat antarabangsa.

Melakukan jenayah sedemikian sejak lebih sedekad lalu, lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari pekan kecil Lundu itu licik mengatur strategi agar kegiatan terkutuknya itu tidak mudah dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, pihak polis Australia akhirnya berjaya mengesan tindak-tanduknya selepas menjalankan risikan terperinci selama dua tahun sebelum berjaya mencekupnya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, kekangan teknologi yang dialami pihak berkuasa di negara ini tidak menjadi penghalang untuk mereka menjejaki tertuduh apabila mendapat kerjasama padu daripada pihak polis Australia.

“Tangkapan ke atas tertuduh telah dibuat pihak polis Sarawak di salah satu pusat kuarantin di pusat bandar setelah tertuduh selesai menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari selepas dia balik dari Semenanjung.

“Ketika disoal siasat, tertuduh mengaku telah melakukan jenayah tersebut dan lebih cenderung kepada kanak-kanak lelaki,” jelas Aidi ketika dihubungi TVS pada hari ini.

Tertuduh diberkas dan disabitkan di Mahkamah Kuching kerana melakukan serangan seksual ke atas sekurang-kurangnya 34 kanak-kanak dalam lingkungan usia dua hingga 16 tahun.

Tertuduh Alladin Lanim mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan jenayah seks dan dihukum penjara 48 tahun serta 15 sebatan pada 17 Ogos lalu.

“Buat masa ini kita masih menunggu laporan forensik berkenaan telefon bimbit tertuduh sekiranya masih terdapat gambar atau video yang disimpannya.

“Kemudian kita akan selidik untuk membuat pertuduhan lagi berdasarkan bukti yang terdapat dalam telefon bimbitnya,” kata Aidi.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan akhbar Sydney Morning Herald, pegawai penyiasat khas Polis Persekutuan Australia (AFP), Polis Queensland serta Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Australia (Austrac) memainkan peranan besar dalam usaha menangkap Lanim yang melakukan jenayah itu tanpa dikesan selama lebih sedekad.

Detektif Daniel Burnicle yang merupakan pemangku pegawai kanan AFP di Kuala Lumpur mendedahkan Alladin juga mencabul kehormatan kanak-kanak di ladang dan di sebuah rumah panjang di Lundu, Sarawak.

Tertuduh didakwa memaksa kanak-kanak berkenaan menonton video berbentuk pornografi selepas membenarkan mereka bermain permainan video di telefon bimbitnya.

Kini kesemua teka-teki terjawab, mimpi buruk kanak-kanak yang pernah menjadi mangsanya akhirnya terbayar.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.