Bantuan tambahan RM38 juta baiki infrastruktur rosak bencana di Yan

Spread the love

YAN, 6 Sept : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM38 juta bagi memperbaiki infrastruktur yang rosak teruk akibat bencana kepala air di Yan dan Merbok, Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di daerah itu yang terjejas akibat kejadian pada 18 Ogos lalu yang turut mengorbankan enam nyawa.

“Bantuan ini bagi memastikan anggota Keluarga Malaysia di Yan yang ditimpa musibah dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di lokasi terjejas di Pekan Yan hari ini.

Ujarnya, peruntukan segera itu juga seiring dengan keprihatinan KPLB dalam memfokuskan kesejahteraan rakyat terutamanya di luar bandar sebagai sebahagian Keluarga Malaysia.

“Peruntukan tambahan itu membabitkan pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak RM1 juta manakala RM355 000 bagi kerja-kerja baik pulih jalan kampung,” katanya.

Seterusnya, beliau menjelaskan perincian peruntukan tambahan itu juga melibatkan RM500 000 di bawah program Ameniti Sosial termasuk membaikpulih titi dan jambatan.


” Kerajaan juga bersetuju menyalurkan RM1 juta untuk bekalan air alternatif manakala RM145 000 untuk membaik pulih empat premis Tabika dan Taska Kemas di Yan manakala sejumlah RM35 juta untuk menaiktaraf Loji Rawatan Air Tupah bagi menyedia akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 buah rumah penduduk yang terlibat,” katanya. -TVS


Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.