90 peratus pekerja warganegara Indonesia sudah menerima vaksin COVID-19

Spread the love

SIBU, 6 September : Anggaran 90 peratus pekerja warganegara Indonesia di Sarawak telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Konsul Jenderal Republik Indonesia (Kuching), Yonny Tri Prayitno berkata, kebanyakkan mereka yang bekerja di sektor perladangan sudahpun menerima vaksinasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya dimaklumkan kebanyakan mereka sudah divaksin, kecuali sebilangan sahaja yang bekerja di kedai dan tempat lain disebabkan majikan tidak melaporkan kepada kami dan hanya syarikat besar, seperti sektor pembinaan dan ladang melaporkan kepada kami,” katanya.

Beliau demikian ketika ditemui media ketika menghadiri kunjungan hormat kepada Ketua Polis Sibu, Asisten Komissioner Polis (ACP), Stanley Jonathan Ringgit di IPD Sibu, pada Isnin.

Pertemuan itu juga membincangkan kerjasama kedua-dua pihak dalam usaha memutuskan penularan wabak Covid-19 di kalangan pekerja asing warganegara Indonesia dan komuniti setempat.

Jelasnya, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, seramai 140,000 warganegara Indonesia direkodkan bekerja di negeri ini.

Bagaimanapun, dari jumlah itu 75,000 telah pulang ke negara asal sejak 2020.

Justeru, beliau berharap 100 peratus kadar vaksinasi dalam warganegara Indonesia yang bekerja di Sarawak dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Jadi kerjasama antara pihak berkuasa seperti polis di sini penting agar pekerja Indonesia lebih berdisplin dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.