Tiada rancangan tamatkan harga siling pelitup muka – Alexander Nanta

Spread the love

KUCHING, 5 Sept : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak berhasrat untuk menamatkan harga siling bagi pelitup muka.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, langkah berkenaan antara lain merupakan sebagai persiapan negara melangkah ke fasa endemik.

“Pelitup muka merupakan barangan keperluan harian setiap individu terutamanya ketika berada di luar. Kerajaan khuatir sekiranya harga siling ditamatkan, akan timbul masalah harga yang tidak terkawal dan juga bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander Nanta berkata, setakat ini tidak timbul isu berkaitan harga siling pelitup muka yang ditetapkan iaitu 70 sen seunit.

“Ini menunjukkan bahawa peniaga-peniaga sudah mampu menjual pelitup muka ini dengan harga yang ditetapkan atau lebih murah apabila ada yang menjualnya pada harga 20 sen seunit dengan kualiti yang diluluskan,” katanya.

Mengulas lanjut, Alexander Nanta berkata, keputusan berkenaan juga adalah kerana kerajaan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk jika berlaku penularan COVID-19 berada pada tahap tidak terkawal.

“Sekiranya negara kita berdepan situasi berkenaan, maka permintaan terhadap pelitup muka akan melonjak tinggi dan seterusnya timbul pula isu harga dan bekalan,” katanya.

Pada masa sama beliau memberitahu, KPDNHEP sentiasa memantau harga dan kualiti termasuklah bagi pelitup muka tiga lapis.

Malaysia dijangka bakal memasuki fasa endemik yang bermaksud manusia perlu hidup bersama wabak COVID-19 dalam menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Ini termasuk sesi persekolahan yang akan melibatkan ramai golongan kanak-kanak dan remaja terdedah di tempat-tempat awam yang ramai orang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.