Sarawak perlu buka pusat saringan COVID-19 kepada pesakit bergejala sahaja

Spread the love

KUCHING : Dengan rekod kes COVID-19 di Sarawak sekarang yang kebanyakannya melibatkan lebih 90 peratus kes yang tidak mempunya gejala, kerajaan negeri digesa untuk mempertimbangkan hanya menerima mereka yang bergejala sahaja ke pusat saringan bagi melakukan ujian calitan masing-masing, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Ini ekoran kadar vaksinasi yang tinggi di Sarawak.

Jelas Masing, selepas menerima dua dos vaksin seseorang individu itu dilindungi daripada gejala COVID-19 yang membawa maut.

“Mereka yang belum menerima vaksin digalakkan untuk mendapatkannya dengan segera.

“Sesudah menerima vaksin, jangkitan masih boleh berlaku namun tidak membawa kepada kematian,” beliau mengulas menerusi satu kenyataan akhbar pada hari ini.

Beliau menegaskan, mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin tidak seharusnya merasakan diri mereka kebal sehingga enggan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“SOP tetap perlu diamalkan di mana sahaja anda berada. Saya melihat rakyat Malaysia seakan-akan tidak lagi mengeruni kesan dijangkiti COVID-19 selepas penemuan vaksin. Segelintir pihak hanya memikirkan bahaya COVID-19 semasa pra-vaksin.

“Jumlah kes harian COVID-19 telah mendedahkan kepada masyarakat betapa seriusnya jangkitan itu yang turut mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh itu yakin sebaik sahaja 80 peratus penduduk Sarawak menerima vaksin, keadaan sudah selamat untuk rakyat turun bekerja dan sebagainya seperti biasa.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan SOP ketat masih perlu dikuatkuasakan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan penyelesaian yang sesuai kerana ia tidak mampu membunuh COVID-19.

“Kajian baharu dari Pusat Kawalan Penyakit (CDC) COVID-net menunjukkan golongan belum divaksin terdedah sebanyak 17 kali kepada kemungkinan dimasukkan ke hospital berbanding mereka yang sudah menerima vaksin,” kata Masing.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.