Yayasan Ragad kongsi rezeki, agih 300 bakul makanan

Spread the love

KUCHING : Bantuan sebanyak 300 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan memerlukan sempena Program Kamek Prihatin di sekitar Fasa 2 Kampung Asajaya dan Kota Padawan.

Menurut Pengarah Program dan Kempen Yayasan Ragad, Lila Ruzaini Hussain, bantuan ini merupakan hasil kerjasama Yayasan Ragad dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sarawak.

“Ini bagi menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan semasa pandemik COVID-19 serta tindak balas kepada situasi yang dihadapi masyarakat.

“Kita juga berasa bersyukur kerana dapat meneruskan misi bantuan di sekitar negeri Sarawak seperti mana yang telah dihasratkan oleh Penaung Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada hari ini.

Beliau menambah, bantuan yang dihulurkan juga diharap dapat memberikan kegembiraan dan meringankan sedikit beban para penerima bantuan.

“Semoga kerjasama dengan agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat diteruskan dalam usaha untuk mengenal pasti golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” ujarnya.

Bantuan telah disampaikan sendiri oleh Toh Puan yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang.

Turut hadir semasa penyerahan tersebut adalah Datuk Riffai Husain, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ragad, wakil dari Kelab Lion New Century Kuching Emerald, Catherine Tay dari Red Profile Sdn Bhd, serta Pegawai Penerangan Fiona Maurice dan Nurul Masyitah dari LPPKN.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.